PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP), Multi-Product Pipeline (MPP) dan Kertas Pandora.
Menurut Majlis Presidennya, pihaknya terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula TSGP sepertimana yang dijawab Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.
“Bayaran telah dibuat ke atas kedua-dua projek TSGP dan MPP yang diluluskan zaman Barisan Nasional (BN) sebanyak 88 peratus daripada nilai pembinaan atau RM8.3 bilion, walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.
“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP adalah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.
“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari oleh Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pihaknya turut menggesa SPRM untuk melipat gandakan usaha untuk menyiasat isu berkenaan Kertas Pandora.
Katanya, ini berikutan kertas itu sudah menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik yang didakwa memiliki akaun-akaun luar pesisir dan sama ada duit yang disimpan itu berasal dari sumber yang sah atau dari kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang.
“Adalah mendukacitakan jka SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Kertas Pandora sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas sepertimana dimiliki SPRM. – UTUSAN ONLINE











