PETALING JAYA: Peningkatan kes Covid-19 sehingga mengakibatkan pertambahan pesakit di hospital didakwa berpunca daripada golongan yang belum divaksin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) patut mengambil tindakan sewajarnya bagi membendungnya.
“Kenaikan kadar kemasukan ke hospital di beberapa negeri memang membimbangkan. Apa yang kita kenal pasti ia berpunca daripada golongan yang belum divaksin yang mampu menjadi ancaman kepada masyarakat.
“Saya amat menggalakkan mereka yang belum mengambil vaksin untuk segerakan mengambilnya sebab golongan ini membahayakan orang lain.
“Kita juga janganlah lupa dengan SOP yang ditetapkan. Dalam keterujaan pastikan ada disiplin supaya kita semua selamat. Data-data kes berkaitan varian Delta haruslah disediakan untuk semua supaya kita tahu berangkalian jangkitan di setiap kawasan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, data portal COVIDNOW menunjukkan peningkatan 22 peratus di Lembah Klang dan peningkatan 16 peratus di Sarawak.
Khairy menjelaskan, kementeriannya akan meningkatkan analisis dan pengawasannya susulan peningkatan kemasukan ke hospital.
Dalam pada itu, pengamal perubatan, Dr. Kuljit Singh berpesan supaya orang ramai tidak memandang remeh dengan kelonggaran yang diberikan malah perlu terus mengutamakan SOP.
“Sekarang ini SOP memang sudah ada dan kerajaan tidak pernah kompromi perkara ini. Jadi peningkatan kemasukan ke hospital mungkin berpunca dengan mereka yang leka dan sangat teruja apabila dapat berjumpa satu sama lain.
“Ini mungkin berlaku kerana orang ramai sudah mula berkumpul. Masing-masing perlu sedar dengan pengawalan kendiri dengan penuh disiplin. Kerajaan sudah menyediakan SOP yang lengkap.
“Keterujaan rakyat haruslah berpada-pada kerana kita semua tahu walaupun sudah divaksin, kita masih berpotensi untuk dijangkiti Covid-19. Elak makan di kedai yang ramai orang, cari tempat perjumpaan yang terbuka bagi memastikan pengudaraan yang baik dan yang paling penting, elakkan bersentuhan atau berpelukan,” jelasnya. – UTUSAN










