Pendidikan sains adalah proses pengajaran dan pembelajaran tentang sains terhadap golongan bukan pengamal sains, seperti murid sekolah, pelajar kolej atau universiti, orang dewasa dalam kalangan masyarakat.
Pendidikan sains dilaksanakan bertujuan meningkatkan tahap kefahaman masyarakat umum terhadap aplikasi dan ilmu sains di samping membina peradaban ilmu sains serta menganjurkan masyarakat yang bertanggungjawab dan celik sains.
Pendidikan sains amat penting bagi memastikan masyarakat memahami tentang persekitaran tempat tinggal mereka.
Selain itu, adalah amat penting bagi kita mempunyai pengetahuan yang tinggi di dalam sains kerana apa sahaja yang wujud di atas muka bumi ini adalah amat berkaitan dengan pendidikan sains.
Apa sahaja yang kita lihat di sekeliling daripada awan berolak di langit, pokok yang merimbun di dalam hutan, air sungai yang mengalir, ombak yang menghempas pantai, sehingga kepada pembentukkan bintang, fenomena siang dan malam, pergerakan bumi dan cahaya serta proses di dalam badan manusia itu sendiri merupakan suatu bentuk ilmu sains.
Tanpa kita memahaminya, maka amat sukar untuk kita untuk menghayati apatah lagi untuk menjaga alam ini sebaik mungkin.
Petunjuk biologi alam sekitar merupakan komponen biologi yang boleh digunakan bagi menunjukkan atau memberi isyarat kepada sebarang perubahan yang berlaku di persekitarannya.
Sebagai contoh, kewujudan cacing tanah di dalam tanih mempunyai hubungan yang positif dengan kelembapan dan nilai pH tanih tersebut.
Ini membuatkan cacing tanah amat sesuai dijadikan sebagai petunjuk biologi bagi kualiti dan kesuburan tanih.
Pemantauan kualiti alam sekitar menggunakan petunjuk biologi biasanya dilakukan melalui beberapa teknik dan kaedah seperti;
1. Pencerapan morfologi dan fisiologi,
2. Pemantauan taburan spesies
3. Perubahan tingkah laku individu, dan
4. Perubahan kandungan metabolit sekunder.
Pemantauan menggunakan petunjuk biologi kebiasaannya dijalankan kepada beberapa parameter alam sekitar seperti kelembapan, kandungan nutrien, nilai pH, kepekatan unsur surih (logam berat, nadir bumi dan lain-lain), oksigen terlarut dalam air, suhu dan lain-lain lagi.

Namun, tidak semua hidupan sesuai digunakan sebagai petunjuk biologi kualiti alam sekitar.
Seperti contoh yang dinyatakan di atas, penggunaan cacing tanah sebagai petunjuk biologi kepada kesuburan tanih sememangnya telah lama diamalkan lebih-lebih lagi dalam kalangan petani dan pekebun.
Selain cacing tanah, semut dan anai-anai juga dianggap sebagai petunjuk biologi kepada kualiti tanih.
Kehadiran semut dan anai-anai menunjukkan bahawa sesuatu tanih itu mempunyai nutrien seperti fosforus, nitrogen dan kalsium dalam kandungan yang mencukupi.
Dalam penentuan kualiti air pula, kebiasaannya saintis menggunakan makroinvetebrata seperti pacat, larva nyamuk, larva pepatung dan seumpamanya bagi menentukan sejauh mana keadaan kesihatan sesuatu kawasan itu.
Namun penggunaan makroinvertebrata ini tidak diamalkan oleh masyarakat awam yang mana lebih cenderung untuk melihat komuniti ikan yang terdapat di sesuatu kawasan berair.
Sebagai contoh, ikan keli sering dikaitkan dengan kerentanannya untuk hidup di kawasan sungai yang sederhana tercemar.
Bagi penentuan kualiti udara, liken yang merupakan kulat yang hidup secara simbiotik antara dua atau lebih hidupan lain merupakan petunjuk biologi yang digunakan secara meluas.
Kewujudan liken di sesuatu kawasan menunjukkan keadaan kualiti udara yang baik. Semakin tinggi taburan spesies liken di sesuatu kawasan, bermaksud semakin baik kualiti udara di kawasan tersebut.
Selain itu, lumut juga dianggap petunjuk biologi yang baik kepada tahap kelembapan udara di sesuatu kawasan. Semakin tinggi kelembapan udara di sesuatu kawasan, semakin tinggi limpahan spesies lumut yang hidup di kawasan itu.
Oleh kerana inilah lumut lebih banyak dan kerap dijumpai di kawasan tanah tinggi.
Pengaplikasian petunjuk biologi kualiti alam sekitar sememangnya mampu meningkatkan tahap celik sains dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan instrument sains amat sukar dan mahal diperolehi dan dimiliki oleh masyarakat biasa.
Ini menyukarkan mereka memahami dan mengaplikasi ilmu dan proses sains di dalam kehidupan seharian. Namun, petunjuk biologi amat mudah untuk didapati dan tidak memerlukan sebarang kos yang tinggi untuk menjalankan aktiviti pencerapan.
Apa yang penting adalah pengetahuan untuk tujuan pengenalpastian spesies dan membuat analisis perbandingan antara kawasan.
Petunjuk biologi bukan sahaja mampu meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat terhadap proses sains, malah membantu negara menangani masalah alam sekitar yang kian meruncing.
Ia dengan meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap keadaan semasa kualiti alam sekitar di kawasan mereka.

- Dr. Azlan Abas, pensyarah kanan di Program Pengurusan Persekitaran, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.











