
BARU-BARU ini ada seorang rakan bercerita mengenai perihal seorang artis yang bagi Kekda dari segi populariti masih biasa-biasa. Kata rakan Kekda, ketika meminta nombor telefon artis ini, dia enggan memberikan. Wah! Macam minta duit pula, punya tidak mahu kongsi. Paling mengelirukan artis ini memberi alasan kerana takut nombor telefonnya itu tersebar.
Kekda hairan juga, apa kaitan memberi nombor telefon kepada wartawan akan menyebabkan nombornya itu tersebar. Sepanjang Kekda bekerja belum ada lagi, rakan-rakan wartawan Kekda sewenang-wenangnya berkongsi nombor telefon artis dengan orang luar.
Situasi seorang wartawan meminta nombor telefon artis juga bukanlah pelik. Kekda sendiri akan berbuat demikian selepas sesi temu ramah. Bukan apa, kalau sudah ada nombor telefon lebih senang meminta kepastian kalau ada apa-apa yang tidak faham.
Tetapi apa yang diceritakan rakan Kekda ini sedikit mengejutkan, sikap tidak mahu beri kerjasama ini seakan memberi tanda dia juga tidak perlukan bantuan daripada rakan media untuk kariernya.
Jelas rakan Kekda lagi, sebagai wartawan tiada apa yang merugikan dengan sikap artis seperti ini. Malah melihat jumlah pengikut dalam laman sosial miliknya juga, Kekda yakin jauh lagi perjalanan artis ini.
Tidak mengapalah, Kekda tidak menentang artis dengan prinsip yang menyusahkan ini. Cuma dalam konteks ini, Kekda juga yakin rakan wartawan tidak akan menyusahkan diri untuk mendapatkan kisah artis ini lagi di masa hadapan.
Sebab dalam Malaysia ini, masih ramai artis yang tidak menyusahkan selain menghargai bantuan orang lain dalam perjalanan kariernya. Selamat Jalan Romeo!










