HIDUP di dunia ini adalah ketentuan dan takdir Allah. Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui, menentu atau menetapkan masa depan mereka dengan tepat.
Terkadang apa yang dirancang boleh berubah atau tidak menjadi.
Minggu ini seorang wanita menghubungi saya untuk berkongsi kisah hidupnya dibesarkan oleh ibu saudara yang percaya kepada amalan tilik nasib.
Perkongsian oleh Salmi (bukan nama sebenar) itu bukan mahu mengaibkan sesiapa.
Menceritakan kenapa dia memberanikan diri untuk membuka kisah lama itu, Salmi berkata ia bertujuan mahu berkongsi iktibar dan panduan kepada kepada pembaca.
Memulakan cerita, sejak remaja Salmi sering dihantui kenyataan mengenai takdir hidupnya yang menjadi perbualan terutama kalangan ibu dan bapa saudaranya.
Salmi dibesarkan oleh ibu saudara selepas kematian kedua ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu usia Salmi 12 tahun.
Pada awalnya, Salmi tidak perasaan sehinggalah pada satu hari dia terdengar perbualan ibu dan bapa saudaranya tentang kemalangan yang menimpa kedua ibu bapanya.
Apa yang menyedihkan, menerusi perbualan mereka, Salmi dituduh menjadi punca kematian kedua ibu bapanya.
Pendek kata, Salmi dituduh pembawa malang.
Selepas menamatkan darjah Enam, Salmi menyambung pelajarannya di sekolah asrama penuh di Ipoh, Perak.
Dia berjaya melanjutkan pengajian di sebuah universiti di selatan tanah air selepas tamat tingkatan lima.
Ketika itu dia berkenalan dengan Razif (bukan nama sebenar) seorang pelajar senior.
Namun hubungan mereka dihidu ibu saudaranya dan meminta hubungan itu diputuskan kerana bimbang keselamatan Razif.
Ibu saudaranya turut menyatakan, apabila dia bersuami, suaminya akan mati awal dan dia akan hidup bermadu dalam perkahwinan.
Mulanya, Salmi tidak percaya, kerana mereka bukan Tuhan untuk menentukan segalanya.
Tetapi ibu dan bapa saudara mendakwa boleh melihat masa depannya.
Disebabkan takut dan pendek akal, Salmi berjumpa seorang tabib Cina untuk menilik nasibnya, walaupun tahu perbuatan itu salah.
Salmi mendapati jawapan tabib Cina sama seperti didakwa ibu saudaranya.
Sejak itu, dia jadi takut untuk memikirkan soal lelaki dan cinta, apa lagi tentang perkahwinan.
Setiap kali ada lelaki yang cuba mendekati, dia akan menjauhkan diri.
Bukan tidak ada perasaan ingin bercinta seperti rakan-rakan lain, namun setiap kali mahu menjalinkan hubungan serius dia teringat kembali apa yang dikatakan oleh ibu dan bapa saudaranya.
Keadaan itu berterusan sehingga Salmi memasuki alam pekerjaan.
Dalam tempoh itu, bukan tiada lelaki yang datang meminang Salmi, namun semua ditolak ibu dan bapa saudaranya.
Ketika itulah Salmi teringat tentang tilikan tabib Cina dan dihantui nasib malang yang mengekori hidupnya.
Pun begitu, pertemuan dengan Hafiz (bukan nama sebenar) dalam satu majlis sambutan hari lahir rakan sepejabatnya pada November 2008 membuka lembaran baru dalam kamus hidup Salmi.
Sikap Hafiz yang peramah dan mengambil berat itu sedikit sebanyak membuka hati Salmi untuk menerima lelaki dalam hidup.
Hafiz bukan sahaja sering mengambil berat tentang dirinya, bahkan sering memberi kata-kata semangat dan nasihat terutama hal-hal berkaitan keagamaan.
Lamaran daripada Hafiz diterima dengan hati terbuka selepas melihat kesungguhan lelaki itu.
Walaupun mendapat tentangan daripada ibu dan bapa saudara, Salmi tetap berkeras mahu meneruskan hasratnya itu.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.Kurang dua bulan mengecapi kemanisan berumahtangga, Salmi terpaksa berpisah dengan suami buat selama-lamanya.
Hafiz meninggal dunia selepas terlibat kemalangan semasa pulang dari tempat kerja.
Hanya Tuhan yang tahu bagaimana kesedihan Salmi ketika itu.
Pelbagai perasaan mulai timbul dalam fikiran, namun Salmi cuba untuk membuang jauh sangkaan buruknya itu.
Lebih setahun juga, Salmi mengubat hati. Dia membawa diri ke selatan tanahair.
BERTEMU JODOH LAGI
Langit tidak selalu mendung. Begitu juga dengan kehidupan Salmi.
Safuan (bukan nama sebenar) hadir mengubat luka di hati Salmi yang belum sembuh sepenuhnya.
Walaupun hubungan mereka mendapat tentangan kedua ibu bapa Safuan, perkahwinan tetap diteruskan.
Jodoh Salmi dan Safuan tidak panjang. Hanya enam bulan berkahwin, Salmi diceraikan.
Campur tangan ibu bapa mentua yang mahu Safuan mengahwini wanita pilihan mereka menyebabkan Salmi terpaksa mengalah.
Bergelar janda muda bukan sesuatu yang mudah bagi Salmi.
Ketika itu setiap kali pulang ke kampung, ibu dan bapa saudaranya terus mengungkit nasib malang yang dibawanya.
Sebagai manusia, siapa Salmi untuk menolak takdir.
Dia sekali lagi bertemu jodoh dengan seorang lelaki iaitu Muaz pada Januari 2011.
Walaupun terpaksa menerima ugutan daripada ibu dan bapa saudaranya, bahawa perkahwinan itu tidak kekal lama, Salmi tetap meneruskan juga.
Salmi yakin hidupnya hanya Allah yang menentukan. Apa yang berlaku sebelum ini hanya kebetulan.
Dia kini hidup bahagia di samping suami dan dua anak kembarnya, Kimi dan Shasha, berusia enam tahun.
Akui Salmi, setiap kali usai solat, dia tidak lupa berdoa dan memohon kepada Allah agar rumah tangga mereka kekal bahagia.
Amalan bertilik atau bertenung nasib yang dilakukan bomoh, dukun atau tabib Cina bagi mengetahui baik atau buruk hidup dan masa depan seseorang adalah amalan khurafat.
Rasulullah SAW bersabda, Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, tukang tenung dan bertanya sesuatu kepada-Nnya dan membenarnya, dia ditolak sembahyangnya 40 hari. (Riwayat Muslim)










