MUKADIMAH
Berdakwah adalah tugas semua umat Islam. Hukum wajib berdakwah atas setiap orang ini dapat difahami berdasarkan hadis daripada Abdullah ibnu Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat. (Riwayat al-Bukhari)
Untuk berdakwah secara efektif, individu perlu dilengkapi ilmu selain strategi untuk berhadapan dengan khalayak sasaran. Lebih-lebih lagi jika terlibat dalam dakwah dengan golongan transgender, lesbian, gay dan biseksual (LGBT)
Antara yang ditekankan dalam dakwah adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Rabbmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik….(an-Nahl: 125)
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual perunding motivasi dan pendakwah bebas, MOHAMED HANAFIAH ABDUL MALEK bagi mengupas isu ini.
Beliau juga adalah penasihat Pertubuhan Amal Firdausi (Pafi) untuk HIV/Aids, golongan mak nyah dan gay. Beliau juga adalah Presiden Sifu Bikerz Malaysia
======================================================================================================
Dalam keadaan sekarang, apakah keperluan dakwah jalanan (dakwah on the street) terutama dalam mendekati golongan yang jarang ke masjid dan surau?
HANAFIAH: Dakwah jalanan ini amat penting. Sebabnya, asal-usul dakwah Nabi Muhammad SAW kepada penyembah berhala juga adalah secara berperingkat-peringkat. Dakwah nabi di Taif juga adalah dakwah jalanan.

Malah keperluan dakwah jalanan ini sesuai dengan peringatan Allah yang bermaksud: Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. (ali-Imran: 110)
Mengenai hal dakwah jalanan terhadap golongan transgender, lesbian, gay dan biseksual (LGBT) memang nampaknya mereka dah kurang di lorong-lorong. Ini mungkin kerana prosedur operasi standard (SOP) dalam Covid-19.
Namun apabila sudah sampai fasa endemik kegiatan itu dijangka berlarutan. Malah ekonomi juga sudah berkembang jadi ada kemungkinan mereka akan kembali ke jalanan.
Jadi kita akan teruskan dakwah begini. Malah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah lakukan dakwah ini lebih 15 tahun dan saya terlibat dalam dakwah ini lebih 10 tahun.
Jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri pun melakukannya. Cuma ia tidak dipromosikan untuk jaga aib mereka.
Berdakwah itu adalah gandingan mengajak buat baik dan mencegah mungkar. Ramai yang terlibat dalam mengajak yang makruf tetapi nahyu mungkar bilangannya masih kecil. Apa saranan memperbaiki keadaan ini?
Dakwah adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud mengajak, menyeru. Bila sebut ayat berdakwah seperti ayat 110 surah ali-Imran tadi, ia bermakna bila nak jadi umat Nabi SAW yang terbaik terbaik mesti berdakwah.
Berdakwah menyeru kebaikan dengan kasih sayang. Mencegah kemungkaran dengan tegakkan undang-undang. Undang-undang sedia ada yang masih lemah mesti dipertingkatkan.
Buat undang-undang agar tidak oleh dicabar dan dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Jadi kenalah bijak. Kuasa sudah ada di tangan, gunakanlah. Jangan hanya pandai beri alasan. Apabila sebut cegah kemungkaran kita tengok isu Sajat dan lain-lain misalnya dalam media sosial sampai ada yang boleh mendedahkan sebahagian tubuh badan tapi tak ada tindakan.
Sebaliknya pihak berkuasa mesti bekerjasama. Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan jabatan-jabatan agama boleh kenakan tindakan terhadap mereka yang mencolok mata dalam media sosial yang boleh membawa ke arah maksiat. Ini penting.
Kena laksana segera jika tidak ia akan berleluasa dan jadi biasa dalam media sosial dan tak dianggap sebagai dosa.
Kita kena ada formula serampang tiga mata iaitu kasih, kerjasama antara kementerian (kerajaan) keluarga dan komuniti. Insya-Allah, masalah ini akan selesai.
Kita kenakan mereka ini pengasingan, tindakan berbentuk kaunseling sebagaimana Jakim pernah buat dalam program Mukahyyam.
Bagi penerangan yang Allah sayangkan mereka, bagaimana Nabi SAW menangis memikirkan umat. Ajar sunnah nabi kita buat program ini tiga hari dua malam. Pernah bermula pada 12 hingga 14 Mac di Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, 10 tahun lalu.
Program Mukhayyam adalah anjuran bersama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim dan jabatan agama Islam negeri bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik.
Dakwah ini memang kena bergandingan antara makruf dan cegah kemungkaran. Tanpa kerjasama kita hanya ajak makruf tetapi mugkar dibiar. Kalau undang-undang pun boleh dicabar ini menunjukkan kita lemah.
Jangan sampai misalnya jabatan agama Islam kalah di mahkamah walaupun dari sudut teknikal. Ini tunjukkan kita lemah. Sebaliknya kita kena tunjuk yang Islam ini syumul. Baik dari segi dakwah dan cekap dalam hal mencegah kemungkaran.
Baru-baru ini, Perlis mengumumkan golongan mak nyah atau transgender (21 Sept.) diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina. Namun, dalam kita menguat kuasa peraturan, bagaimana pula dengan usaha yang perlu dilakukan untuk menjinakkan golongan ini dengan agama?
Tindakan Perlis yang haramkan golongan LGBT yang masih ada kecelaruan jantina adalah baik. Tetapi kita pernah adakan kerjasama melalui unit KSK Jakim dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam program Mukhayyam di Semuji AgroTek.
Ketika itu, seramai 40 mak nyah dibawa solat Jumaat dan sampai sekarang golongan itu yang tidak kecelaruan jantina masih solat Jumaat dan mereka dikawalselia oleh pegawai agama tertentu.
Apabila sudah tunjukkan perubahan positif kita akan bimbing mereka. Itu yang dilakukan melalui kerjasama KSK Jakim dan jabatan agama negeri-negeri. Antaranya Johor, Melaka. Pahang dan Selangor.
Kami juga pernah buat training for trainers untuk semua pendakwah dan pegawai agama di kebanyakan negeri termasuk Sabah. Latihan itu mengenai bagaimana ingin mendekati LGBT, gelandangan, penagih dan golongan pelacur.
Alhamdulillah memang ramai yang kita sudah dekati sejak 2011. Banyak yang berjaya berubah dan kembali kepada Islam.

Ustaz berpengalaman berdakwah dengan golongan bekas penagih dan juga dakwah jalanan. Apakah strategi dan pendekatan yang perlu ada untuk mendekati golongan sebegini?
Alhamdulillah, saya pernah terlibat dalam outreach bertemu golongan sasaran termasuk bekas penjenayah. Ia adalah pengalaman menyeronokkan.
Mereka sambut kami dengan baik walaupun ada juga persepi mula-mula mereka lari kerana penampilan pakaian kami.
Selepas itu kami ubah penampilan kami kepada yang lebih santai hasil idea pegawai dari JAIS. Pada 2011 kami dah berdakwah dan bawa mereka ke Mukhayyam. Rasa dah ramai hampir ribu yang kita dekati dan kira-kira 70 peratus kembali kepada fitrah Islam, alhamdulillah.
Dengan budak dadah saya ada pengalaman dipukul tetapi kita ada kaedah menanganinya. Begitu juga dengan golongan mak nyah ada godaan dia. Kena kuatkan iman hendak berhadapan dengan mereka. Matlamat kita adalah Allah bukan makhluk, insya-Allah akan dapat bantuan Allah.
Kalau di kelab-kelab malam, biasa dihalau kerana saya dah dicop sebagai antimereka. Namun kita kena lakukan dakwah, yang lain itu serah pada Allah. Sebab ada nabi yang dibangkitkan kelak, hanya ada seorang pengikut dan ada yang langsung tak ada pengikut.
Tugas kita adalah sambung tugas Rasulullah menyampaikan dakwah. Bab hidayah kita serah pada Allah.
Oleh kerana itu, tugas dakwah ini sangat penting sehingga ia menjadi syarat kemuliaan ummah. Umat Islam hanya akan jadi mulia apabila kita melaksanakan tugas ini.
Alhamdulillah, melalui pendekatan dakwah yang saya sebutkan, kita berjaya dekati 3,800 penagih dadah, penjenayah dan yang terjebak masalah sosial daripada 2002 hingga 2012.
Kita juga dapat kita bantu 680 yang mengandung luar nikah.
Strategi dakwah saya iaitu lebihkan hubungan (connection) untuk mudahkan pembetulan bantu mereka. Jika di Jakim ada kaunseling Islami. Kita guna kaedah program temu, seru. Selain itu, ada program bantu, rawat dan sokong.
Para pagawai agama selalu bertanya khabar mereka. Malah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut beri bantuan kewangan dan latihan kemahiran kepada LGBT melalui unit al-Riqab. Ini bagi mereka yang betul-betul nak berhijrah daripada tabiat lama.
Ramai juga yang tidak mahu membantu kerja dakwah. Bagaimana membetulkan salah tanggapan begini dan bukankah naluri manusia yang suka kebaikan itu juga termasuk dalam dakwah?
Mungkin anggap ini kerja orang alim, ustaz dan mufti sedangkan bila lafaz syahadah kita dah jadi Muslim. Dan mula berdakwah iaitu dakwah bil hal. Dulu kalau sebelum muslim, mungkin akhlaknya buruk tetapi selepas masuk Islam dia jaga akhlak hingga yang bukan Islam jatuh cinta dengan keindahan Islam.
Orang kafir tak tengok serban besar mana, tasbih panjang mana, berapa kali khatam tapi mereka lihat akhlak kita.
Bila memerintah bagaimana akhlak, bila bercakap bagaimana akhlak, bila berniaga bagaimana akhlak kita. Itu juga tugas pertama berdakwah dengan cara jangan malukan agama Islam.
Pada hari ini, ada orang Islam yang perbuatan dan sikap mereka seolah-olah sama dengan bukan Islam. Sehinggakan orang kafir rasa tak ada beza perangai orang Islam dengan bukan Islam.
Banyak berlaku di negara luar seperti di Belanda. Alhamdulillah dengan dakwah bil hal ramai yang tertarik kepada agama Islam yang suci ini. Dakwah bil lisan guna hujah mungkin ini boleh diperolehi dapat sokongan daripada para ustaz dan pendakwah.

Antara dakwah paling berkesan adalah dakwah bil hal. Malangnya dalam banyak aspek, masih ramai umat Islam yang cakap tak serupa bikin. Contohnya dalam bab kebersihan. Tandas di masjid ada yang kotor walhal Islam tekankan kebersihan. Jika ini berterusan, bagaimanakah kita mahu menarik orang bukan Islam kepada Islam?
Ada dua kaedah dakwah bil hal dan bil lisan. Nabi SAW digelas al-Amin kerana akhlak terpuji baginda sebab yang bukan Islam jatuh cinta kepada agama ini.
Bil lisan. Hujah-hujah nabi selalu disanggah dan itu memerlukan kekuatan. Jadi saya seru pada semua umat Islam gunakanlah formula kasih.
Formula ni ada 4K. Yang pertama, kerjasama, kerajaan, keluarga dan komuniti. Kadang2 kementerian dengan kementerian buat tak peduli orang berbogel dalam Instagram. Kalau kementerian fungsi dengan baik isu LGBT, Sajat yang boleh pengaruhi akhlak umat Islam tak dipandang tegas, tak ada tindakan yang mendidik
Sebab itu nabi ajar kita didik anak solat 7 tahun kalau umur 10 tahun tak solat kena rotan.
Rotan juga satu kaedah mendidik dan berdakwah. Jangan kita pandang rendah pada bekas banduan, Kadang-kadang mereka lebih suci daripada yang duduk di luar sbb mereka ada program dalam penjara, pusat koreksional, pusat serenti untuk sucikan jiwa dengan kaedan Islami. Cuma mungkin tak banyak cerita mereka diketengahkan apabila mereka berjaya.
Dalam pada itu, kalau ada kes seperti masjid kotor, kita kena cerdik dalam hal ini., Kita bersihkanlah, tak payah tunggu AJK. bersangka baik sahaja. Sikap salah menyalah antara satu sama lain tak pernah selesaikan masalah.
Ada sheikh al mubarak ditanya anak murid. Apa hukum bagi mereka yang tinggal solat?
Sheikh kata, pegang tangannya dan bawa dia ke masjid, dirikan solat bersamanya. Oh cukup cantik.
Ingat satu perkataan daripada Sheikh Hassan al Banna dakwah itu umpama basuh pinggan, bila basuh pinggan yang kotor tangan kita pun bersih. Jadi jom kita cuci hati kita dengan kaedah berdakwah supaya lebih mudah orang bawahan faham. Kami berdakwah bukan sebab kami baik, bukan sebab kami alim tetapi kerana kerana kami orang Islam yang ingin cari reda Allah.
Seperkara lagi, tolong jangan kongsi keburukan umat Islam dalam media sosial. Kalau nak menegur, buatlah secara tidak langsung atau secara bersemuka.
Kalau semata-mata nak komplen tentang surau, kita memang susah nak selesai masalah. Sebaliknya, gunakanlah media sosial untuk baiki tandas surau, membersihkan surau dan masjid. Saya lihat usaha begini sudah makin banyak.
Sebab itu saya dengan Media Prima membuat kerjasama dalam program ‘Jom Cuci Masjid’. Kami bawa geng motor berkuasa tinggi turut sama bersihkan masjid.
Ramai bukan Islam pun ambil bahagian. Salah seorang daripadanya peluk Islam selepas lihat hasil program itu di mana orang Islam boleh gotong-royong bersihkan masjid.










