Perbankan digital Islam: SEDANIA As Salam, FCA Capital jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Perbankan digital Islam: SEDANIA As Salam, FCA Capital jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SEDANIA As Salam Capital Sdn. Bhd. (SASC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan FCA Capital Sdn. Bhd. (FCA Capital).

FCA Capital bertindak sebagai penasihat kewangan kepada konsortium yang juga salah sebuah entiti yang telah menghantar bidaan perbankan digital ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada suku tahun pertama 2022.

Konsortium tersebut berhasrat untuk memperkasakan sektor perbankan digital yang dikhususkan kepada konsep wakaf, bergantung kepada keputusan daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.

MoU ini menandakan usahasama antara kedua-dua pihak yang bakal memanfaatkan permintaan perkhidmatan kewangan syariah yang semakin meningkat dalam ekosistem fintech Islamik.

Berdasarkan laporan oleh S&P Global Ratings, industri kewangan patuh syariah diramalkan berkembang sebanyak 40 peratus menjelang 2024.

KHAIRUL NISA ISMAIL

Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail berkata, keadaan ekonomi yang mencabar, memberikan peluang untuk perkhidmatan yang patuh syariah berkembang dengan lebih pesat memandangkan terdapat banyak institusi yang sedang mencari pembiayaan telus dan beretika untuk melindungi pelaburan mereka.

“Situasi pasaran ini membuka peluang strategik bagi SASC untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu penyedia fintech Islam utama di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Lembaga Pengarah SASC, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah berkata,  Kerjasama dengan FCA Capital mengesahkan lagi kemampuan dan kekuatan syarikat dalam industri melalui penggunaan teknologi digital yang akan membantu sektor kewangan Islamik berasaskan syariah di Malaysia.

“Perkhidmatan fintech patuh syariah telah berkembang dengan pesat, dan saya yakin SASC akan turut menyumbang dengan memainkan peranan penting dalam ekosistem fintech Islam,” katanya.

Menurut SASC, syarikat telah berkhidmat kepada lebih 70 institusi kewangan dan jumlah pinjaman yang diproses setakat ini lebih daripada RM60 bilion, sekali gus mencatatkan kenaikan permintaan untuk pelaksanaan digital dalam perkhidmatan kewangan Islam.

Jelasnya, permintaan yang semakin meningkat ini dijangka akan berterusan ekoran perubahan sentimen pengguna dalam urusan perbankan digital ketika pandemik global Covid-19.

SASC adalah anak syarikat milik penuh SEDANIA Innovator Berhad (SIB), yang menyediakan teknologi untuk memperkasa institusi kewangan dengan penyelesaian fintech Islam.

SIB adalah syarikat pelaburan Malaysia yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×