PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI), menjalinkan kolaborasi dengan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) bagi mengembangkan penyelidikan dalam bidang teknologi.
Kerjasama itu direalisasikan melalui sesi menandatangani Sijil Kolaboratif Strategik yang diadakan secara maya melibatkan sebanyak 15 kolaboratif baharu PSIS bagi 2021.
Menurut Dekan FTKKI UMT, Prof. Ts. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali, kerjasama strategik itu dilihat mampu meningkatkan lagi perkembangan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang tujahan kedua-dua institusi pengajian tinggi terutamanya bidang teknologi alam sekitar.
“Jalinan kerjasama strategik ini merupakan platform utama perkongsian pengetahuan dan melibatkan diri dalam aktiviti kolaboratif, melaksanakan program tanggungjawab sosial
korporat (CSR), penyelidikan, penerbitan dan perundingan dalam bidang teknologi dan Kejuruteraan Alam Sekitar.
“Disamping itu pihak FTKKI UMT juga bersedia menyediakan khidmat nasihat bagi pembangunan kurikulum bidang diploma kejuruteraan alam sekitar di PSIS, menyediakan peluang pembangunan bakat staf PSIS melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di FTKKI UMT serta aktiviti perkongsian atau pemindahan ilmu dalam bidang teknologi dan kejuruteraan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










