KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Ashraf Muslim memaklumkan dirinya akan berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah, hari ini.
Menurut pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu, dia bersama jemaah lain merupakan grup pertama dari Malaysia ke Mekah dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) baharu.
“Assalamulaikum petama sekali, saya ingin memohon maaf kepada ahli keluarga saya, sahabat-sahabat saya, rakan-rakan media sosial dan seluruh mereka yang mengenali saya.
“Alhamdulillah, hari ini saya telah dijemput menjadi dhuyuf al rahman untuk ke tanah suci Allah SWT.
“Allahuakbar, besar betul kuasa Allah. Tiada kata yang boleh terucap dengan Allah selain terima masih Allah dan saya cintakan Allah! Banyak nak dibetulkan dalam diri yang hina ini,” ujarnya di akaun Instagram.
Menerusi perkongsian sama Ashraf atau nama penuhnya Muhd Ashraf Muslim, 40, berharap semoga Allah mengampunkan dan mendengar segala rintihan umat-Nya.
“Kabulkan segala permintaan kita. Insya-Allah. Ya Allah, rasa mcm tidak percaya. Engkau jagalah, lindungilah keluargaku, sahabat-sahabatku dan mereka yg ku sayang serta harta bendaku ya Allah.
“Permudahkan urusan keluargaku sewaktu ketiadaanku bersama mereka. Insya-Allah,” coretnya lagi.
Sementara itu, menerusi Instastory, Ashraf sedang membuat persiapan dan semakan kelengkapan dan pakaian umrah kali terakhir sebelum berangkat ke lapangan terbang.










