KUALA LUMPUR: Gabungan Marhaen akan menganjurkan Himpunan Marhaen 2021 selama enam hari, bermula hari ini hingga Ahad.
Gabungan Marhaen adalah satu kesinambungan pergerakan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang dipimpin oleh ramai aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Program diadakan sempena Hari Antarabangsa Pembasmian Kemiskinan ini dijalankan secara dalam talian dengan memfokuskan isu-isu berbangkit seperti isu jaminan makanan, isu pekerjaan, isu perumhan, pertanian, isu orang asli atau asal serta sector informal.
Lebih menarik lagi, forum Suara Pekerja – Realiti vs Harapan anjuran bersama oleh Jaringan pekerja Kontrak kerajaan (JPKK), Pusat Tenaga Kerja UNI Malaysia, Kesatuan Elektronik Malaysia dan Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, esok.
Program berkenaan, akan diakhiri dengan Malam Marhaen dan Konsert atas talian yang menampilkan pelbagai artis Malaysia dan aktivis yang menggunakan seni untuk bersatu dengan perjuangan rakyat seperti bekas Presiden PSM sendiri, Dr. Nasir Hashim. Persembahan akan disiarkan secara langsung di Facebook Gabungan Marhaen.
Penubuhan Marhaen pada 2017 terdiri dari Gabungan masyarakat Marhaen dan kumpulan-kumpulan kolektif sosial, jaringan dan NGO.
Gabungan utama Marhaen terdiri daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Jawatankuasa Sokongan Pekerja Ladang (JSML), Gabungan Peneroka bandar dan Perumahan (GPBP), Gabungan Flat Kos Rendah, Gabungan Petani, Gabungan Penternak, Gabungan Alam Sekitar dan Jaringan Pekerja Bukan formal atau Gig.
Sementara itu, jaringan dengan komuniti Orang Asli atau Asal, pemandu lori dan komuniti nelayan turut diwujudkan.
Bagi mereka yang berminat untuk turut serta dalam Program Himpunan Marhaen 2021 PSM, boleh dapatkan pautan pendaftaran di laman rasmi Facebook Gabungan Marhaen.










