KUALA LUMPUR : Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Siti Badriah, berkongsi momen istimewa bersama peminat dan pengikutnya di media sosial apabila mengumumkan kini sedang berbadan dua.
Memaklumkan bahawa kandungannya kini berusia tiga bulan, berita gembira itu juga merupakan penamat kepada penantiannya setelah dua tahun mendirikan rumah tangga dengan suami, Krisjiana Baharudin.
“Alhamdulillah tahun ini mendapatkan hadiah besar yang tidak ternilai harganya dari Allah SWT. Dua tahun kita menanti saat-saat ini, masih terasa tak percaya sampai saat ini bahawa Allah telah menitipkan janin di dalam rahimku.
“Akhirnya aku merasakan apa yang aku ingin sekali rasakan selama ini. Terima kasih ya Allah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.
Perkongsian Siti Badriah itu kemudiannya dihujani dengan kata ucapan tahniah dan perasaan gembira daripada pengikut dan peminat termasuk rakan-rakan selebriti.
Dalam satu hantaran lagi di platform media sosial tersebut, Siti Badriah turut berkongsi sebuah video rakaman saat dirinya membuat kejutan itu buat suaminya di rumah.
“Alhamdulillah, selalu bersabar, bersyukur dan selalu berusaha dengan sungguh-sungguh. Percayalah, Allah pasti akan mengabulkan permintaan kita. Indah pada waktunya di masa yang tepat,” kata Krisjiana.
Untuk rekod, penyanyi yang popular dengan lagi Lagii Syantik ini mendirikan rumah tangga dengan Krisjiana pada tanggal 25 Julai 2019.











