Isu Anwar Ibrahim: Hubungan UMNO, Pas jadi tanda tanya. - Utusan Malaysia

Isu Anwar Ibrahim: Hubungan UMNO, Pas jadi tanda tanya.

Dr. Rusdi Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Hubungan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) mula menjadi tanda tanya jika benar ada kalangan ahli Parlimen parti itu akan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Justeru, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar melihat, jika kemelut tersebut tidak diatasi dengan baik, MN pula akan tinggal kenangan selepas setahun bersama.

Malah, katanya, tahap kepercayaan antara UMNO dan Pas juga masih menjadi tanda-tanya.

“Semua pemimpin politik dalam MN dan Perikatan Nasional (PN) kena berjiwa besar dan matang dalam membuat keputusan dan kena ada seorang nakhoda sahaja dalam gabungan tersebut. Kalau lebih seorang maka akan timbul masalah nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pas dalam satu kenyataan semalam meminta penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, sekiranya keadaan itu benar, bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam MN yang dimeterai pada 14 September 2019.

Jelas Takiyuddin, piagam MN dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki turut meminta penjelasan Pas mengenai penyertaan parti itu sebagai salah satu komponen PN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×