TIDAK perlu ke Sky Box, Menara Kuala Lumpur, untuk menikmati pemandangan dari bilik kaca. Sebaliknya pengalaman itu turut boleh dinikmati menerusi Star View, di Menara Alor Setar. Menara dengan wajah baharu itu dilengkapi dengan dua pelantar pemandangan terbuka, Star View.
Selain menjadi tempat kegemaran berlibur di awang-awangan, tarikan terbaharu tersebut mengintai tumpuan orang ramai ke menara kedua tertinggi di Malaysia dan yang ke-22 di dunia itu.
Star View yang mula beroperasi sejak 26 Julai lepas diilhamkan daripada Sky Box yang dibina di Sky Deck Menara Kuala Lumpur pada 2016.
Sesuatu yang menarik sambil menyaksikan keindahan panorama dari udara yang berdinding dan berlantaikan kaca tumpuan berlibur di Star View juga untuk bergambar bersama keluarga mahupun selfie.
Pada ketinggian 105 meter itu, pemandangan memang sukar digambarkan kerana adrenalinanya agak mendebarkan terutama apabila bandar raya ini seolah-olah berada di bawah tapak kaki anda.
DUA PELANTAR
Terdapat dua pelantar Star View yang menghadap ke arah utara dengan warna hijau sementara selatan pula kuning dengan panorama yang disajikan mempunyai latar berbeza.
Tentulah sesuatu yang istimewa, bandar raya ini dirahmati dengan pelbagai sudut pemandangan yang indah dari hamparan sawah padi, gunung sehingga ke sungai yang boleh dihayati dari kotak hijau Star View.
Jika cuaca baik dan anda bernasib baik panorama indah terlihat sehingga ke sempadan Thailand.
Di kotak kuning, pengunjung dapat menikmati hamparan Sungai Kedah, kubah Masjid Zahir dan bangunan ikonik negeri jelapang padi negara ini.
Malah permandangannya akan sejauh lautan yang memisahkan darat Kedah dan pulau pelancongan popular, Langkawi.
Ketika cuaca cerah pengunjung akan merasakan semilir angin menyejukkan dengan panorama indah itu.
Lokasi ini juga sangat ideal untuk pengunjung bergambar berlatarkan pemandangan indah terutama ketika matahari terbenam di kaki langit.
STRUKTUR KUKUH

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak, berkata pengunjung tidak perlu bimbang kerana Star View dibina daripada tiga lapisan kaca kukuh dengan ketebalan 12.5 mililiter (ml) dan mampu menampung berat sebanyak 1,200 kilogram (kg) selain menahan kelajuan angin 140 kilometer sejam.
Katanya, setiap satu pelantar itu pula berkeluasan empat meter persegi.
“Pengunjung diberi masa 20 minit berada di atas Star View. Hanya enam pengunjung dibenarkan berada di pelantar itu pada satu-satu masa bagi mematuhi jarak fizikal.
“Kesemua pengunjung dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya ketika ditemui di menara itu baru-baru ini.
Bagi pengunjung, Zaili Mohd. Ali, 38, seorang penjawat awam, keterujaannya berada di Star View sukar digambarkan apatah lagi ia merupakan pengalaman pertamanya.
“Saya tidak dapat gambarkan perasaan tetapi ia sangat seronok. Walaupun mulanya agak gayat apabila lama-lama rasa senorok,” katanya.
Bagi Afiq Abdul Rashid, 32, dari Klang Selangor, keputusan ‘melarikan’ diri daripada masalah air menjadi suatu pengalaman berbaloi.
“Ini kali pertama saya dan keluarga ke Kedah dan kami rasa puas melihat bandar ini menerusi Star View ini,” katanya.
Sememangnya tiada lokasi ideal untuk menikmati keindahan Kedah yang membuatkan anda jatuh cinta berkali-kali dengannya melainkan dari Star View, Menara Alor Setar.
Menara Alor Setar hargai petugas barisan hadapan
SEBAGAI meraikan sumbangan dan penat lelah khidmat petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19, Menara Alor Setar menawarkan pakej istimewa ke pelantar pemandangan terbuka dikenali sebagai Star View dengan tiket percuma.
Menurut Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak, promosi yang dinamakan Untuk Wiraku itu adalah sebagai menghargai jasa mereka sebagai petugas di barisan hadapan.
“Promosi ini diberikan kepada semua petugas Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Imigresen, bomba dan agensi lain.
“Ia adalah salah satu usaha pihak kami menunjukkan rasa terima kasih di atas khidmat mereka dalam memerangi Covid-19,” katanya.
Promosi tersebut jelasnya, mendapat sambutan mengalakkan daripada golongan berkenaan.
Star View beroperasi dari pukul 9.30 pagi sehingga 10 malam dengan tiket masuk RM48 bagi dewasa dan RM28 bagi kanak-kanak.
Sempena pembukaan, pihak menara menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk ke Star View atau Pelantar Peninjau Tertutup sejak 1 Ogos lalu untuk tempoh terhad.










