Jodoh adalah salah satu perkara paling misteri yang ditetapkan Allah sama seperti kematian.
Tidak ada siapa yang tahu dengan siapa, bila dan bagaimana seseorang bertemu jodoh.
Bayangkan ada yang berusaha ke sana sini mencari jodoh, rupanya ada di depan mata. Ada juga yang menjalinkan hubungan cinta bertahun-tahun tapi akhirnya berkahwin dengan orang lain.
Begitu juga dengan mereka yang belum bertemu atau lambat jodohnya. Sudah pasti hati risau memikirkan masa depan.
Mungkin terpaksa hidup membujang sampai tua malah bersendirian tanpa pasangan sehingga akhir hayat.
Situasi sama pernah dialami Sufiah (bukan nama sebenar) yang berhadapan dengan pelbagai umpat keji dan hinaan kerana berusia lewat dan masih belum bertemu jodoh.
Akui Sufiah yang bakal meraikan ulang tahun ke 52 tahun pada 15 November ini, pada awalnya memang dia tertekan.
Pelbagai jolokan diberi seperti anak dara tua atau andartu, anak dara lanjut usia atau dalam bahasa sindiran disebut andalusia dan anak dara tidak laku.
Namun, kini dia tidak kisah apapun tanggapan saudara mara, kenalan mahupun masyarakat.
Sepanjang tempoh 10 tahun melalui pelbagai pengalaman dalam usaha mencari lelaki idaman, Sufiah kini lebih memahami kebaikan di sebalik lewat jodohnya itu.
Sufiah belajar menerima hakikat dan percaya kepada aturan Allah.
Sufiah yang saya temui baru-baru ini turut membuka cerita dia tidak berkahwin bukan disebabkan tiada keinginan.
Mana mungkin wanita sepertinya mahu terus hidup membujang sepanjang hayat.
Walau berjawatan tinggi, dia masih memerlukan lelaki sebagai pelindung dan teman untuk berkongsi hidup.
Bukan Sufiah tidak mempunyai teman lelaki sepanjang tempoh itu, namun hubungan mereka tidak pernah kekal.
Lama kelamaan dia menjadi tawar hati.
Hendak berkahwin dengan lelaki lebih berusia, kebanyakannya sudah beristeri. Hendak berkahwin dengan lelaki sebaya usia dan setaraf kelayakan tidak kesampaian, bertemu lelaki muda lain pula masalahnya.
Sufiah mengakui pada awalnya memang dia bingung memikirkan nasib diri yang belum bertemu jodoh.
Walaupun pernah menjalinkan hubungan serius dengan beberapa lelaki sebelum ini namun semuanya putus di tengah jalan.
Menceritakan pengalaman, Sufiah menemui cinta pertama pada usianya 33 tahun. Azman (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia 26 adalah lelaki pertama yang berjaya menyemai cinta di laman hatinya.
Namun hubungan mereka mereka hanya bertahan setahun sahaja kerana tidak mendapat restu kedua orang tua Azman. Perbezaan usia menjadi alasan orang tua Azman untuk menghalang hubungan mereka.
UNDUR DIRI
Walaupun sukar melepaskan cinta pertamanya, namun Sufiah terpaksa undur diri demi kebaikan semua pihak.
Cerita Sufiah, bila usianya memasuki 35 tahun dia giatkan usaha untuk mencari lelaki idamannya.
Setahun, dua tahun, usahanya sia-sia sahaja.
Kehadiran Munir (bukan nama sebenar) rakan sepejabatnya di saat Sufiah mengharapkan kasih sayang bagai pucuk dicita ulam mendatang.
Munir yang berstatus suami orang itu sudah lama memerhati dan meminatinya dalam diam tanpa disedari Sufiah sendiri.
Sufiah mengakui Munir bukan sahaja baik dan penyayang tetapi juga seorang yang sangat mengambil berat terhadap dirinya.
Namun disebabkan status Munir, hati Sufiah lebih kuat menolak untuk meneruskan perhubungan mereka.
Demi kebaikan bersama, Sufiah mengambil keputusan meletak jawatan dan berhijrah ke Kuantan.
Dengan bantuan teman baiknya, Sarimah (bukan nama sebenar) dia mendapat pekerjaan sesuai pengalaman.
Di tempat baru, lain pula kisahnya.
Sufiah menjadi rebutan dua lelaki tampan. Anip dan Shah (bukan nama sebenar).
Setelah mengambil kira pelbagai faktor dan mengenali hati budi masing-masing, Shah menjadi pilihan Sufiah kerana menepati ciri-ciri lelaki idamannya.
Namun jodoh Sufiah masih tidak kesampaian. Shah meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan semasa pulang dari majlis pertunangan mereka.
Ditanya apa yang dirasai apabila terpaksa berpisah dan tidak ditakdirkan untuk bersama dengan tunangannya itu, Sufiah mengakui waima mulut berkata kuat, sebaliknya hati tidak kuat untuk menerima takdir tersebut.
Di hadapan ahli keluarga, Sufiah tersenyum tetapi hati kecilnya bersendu pilu.
Shah adalah lelaki terakhir dicintainya. Selepas kematian Shah pada Disember 2018, Sufiah semakin pasrah tentang jodohnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Sufiah sempat menitip pesanan kepada wanita yang belum bertemu jodoh.
Apabila berhadapan dengan situasi begini, teruskan melangkah dan persiapkan mental bagi menghadapi kenyataan.
Pada awalnya memang sukar. Tetapi sekiranya berbaik sangka dan yakin dengan ketentuan Allah, hati akan terasa lebih tenang dan lapang.
Sufiah menambah, dia kini menjaga ibu bapanya yang lanjut usia.
Dia sendiri tidak pasti apakah dia mampu menjaga dan berbakti kepada orang tua sekiranya dia berkahwin.
Soal jodoh ini rahsia Allah.
Semuanya sudah diatur. Kita hanya mampu berusaha sehabis baik untuk diri kita. Tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.
“Allah mencatat takdir setiap makhluk 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)









