Cabaran bola selamatkan harimau Malaya - Utusan Malaysia

Cabaran bola selamatkan harimau Malaya

Cabaran Score For Tigers anjuran WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank sebagai usaha mengatasi krisis kepupusan spesies ikon negara, harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semakin hari populasi harimau liar di seluruh Asia Tenggara kian menurun. Lebih membimbangkan, sejak 25 tahun lalu, spesies berkenaan telah pupus di Kemboja, Laos dan Vietnam dengan penurunan ketara di Vietnam dan Myanmar.

Sudah pastinya bilangan spesies harimau juga semakin berkurangan di Malaysia berbanding tahun 2010 walaupun satu matlamat telah ditetapkan untuk menggandakan populasi ‘pak belang’ sebelum 2022.

Mana tidaknya, ia sentiasa diancam oleh kegiatan pemburuan haram serta penebangan dan kemusnahan hutan yang merosakkan habitat mereka.

Tidak mahu terus berdiam diri, Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) dengan kerjasama Maybank melancarkan cabaran Score For Tigers bersempena pelancaran Hari Harimau Sedunia baru-baru ini.

Kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bertindak segera mengatasi krisis kepupusan harimau Malaya selain sebagai simbolik usaha mempertahankan spesies ikonik negara.

HARIMAU Malaya semakin pupus di rantau ASEAN.

Cabaran yang diadakan selama sebulan di platform TikTok itu memerlukan peserta menimang bola sebanyak mungkin dan memuat naik video berkenaan ke semua platform media sosial mereka.

Sejumlah 11 penyertaan dengan jumlah tanda suka terbanyak akan memenangi jersi rasmi Score For Tigers.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, cabaran yang diadakan itu diharap dapat menarik perhatian peminat bola sepak untuk turut sama berganding bahu menyelamatkan spesies yang menjadi ikonik pasukan bola sepak negara.

“Kami berharap penyokong bola sepak Malaysia akan menunjukkan semangat yang sama terhadap usaha menyelamatkan harimau Malaya.

“Marilah berganding bahu dan bersama-sama bertindak untuk memulihara spesies ini,” ujarnya.

SOPHIA LIM

Turut memeriahkan cabaran ini adalah artis dan personaliti tempatan seperti Asyraf Nasir, Armani Kowachee, Theeban G, Rod Monteiro, Calista Leah Liew, Jeremy Teo, Syiera Eyya dan Christine Das.

Pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya turut tidak ketinggalan memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini bagi mengubah nasib ‘pak belang’ pada masa akan datang.

PEMBURUAN HARAM

Selain itu, kerjasama semua pihak seperti kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat secara amnya dilihat mampu menyelamatkan spesies ini daripada kegiatan haram.

Misalnya, usahasama yang pernah dilakukan antara kerajaan, NGO dan masyarakat Orang Asli pada suatu ketika dahulu telah berjaya mengurangkan insiden pemburuan haram di Kompleks Hutan Belum-Temenggor.

“Buat masa ini, kita harus meningkatkan usaha di seluruh negara pada setiap peringkat termasuk politik.

Kerajaan telah pun meluluskan pelan tindakan krisis nasional yang akan menggunakan pendekatan secara keseluruhan bagi mengelak kepupusan harimau Malaya. Kita mesti melindungi ia dengan sedaya,” tambah Lim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Maybank, Shahril Azuar Jimin menegaskan syarikat-syarikat memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan dan perlu mengamalkan kriteria persekitaran, sosial dan pemerintahan.

Sementelah, negara kini sedang berada di saat genting dan mungkin akan kehilangan spesies berharga berkenaan dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.

SHAHRIL AZUAR JIMIN

 

“Maybank telah bekerjasama dengan WWF-Malaysia sejak 2016 untuk melindungi haiwan agung ini.

“Jika kita ingin melihat populasi harimau meningkat, kita harus tabah meneruskan usaha pemuliharaan.

“Melalui pelan M25 di bawah piagam kelestarian, kepelbagaian biologi adalah salah satu keutamaan kami di Maybank. Yang penting adalah komitmen kami terhadap pemuliharaan harimau Malaya,” katanya.

Memandangkan Tahun Harimau bakal menjelang tiba tidak lama sahaja lagi ia memerlukan kesedaran dan tindakan pantas bagi mengubah nasib spesies berkenaan di masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×