MUKADIMAH
“KITA naik tangga, kena lepas tangan. Kalau tak lepas tangan, macam mana nak naik tangga.
“Kalau masih lagi kita (UMNO) dengan mentaliti modul lama, kita tidak akan maju lagi ke hadapan, kita takkan dipilih dan akhirnya akan hilang kuasa.”
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dari UMNO, DATUK SERI IDRIS HARON kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dalam perbualan telefon, tengah malam kelmarin.
Isnin 4 Oktober lalu, Idris bersama tiga lagi ADUN, masing-masing seorang UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bebas menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri, sekali gus mengakibatkan pembubaran DUN sekali gus laluan untuk Pilihan Raya Negeri.
Apa yang dimaksudkan ‘naik tangga, kena lepas tangan’ oleh bekas ketua menteri itu? Ikuti penjelasan beliau.
UTUSAN: Ingatkan Johor atau Perak dahulukan bubar DUN, rupa-rupanya Melaka. Apa sebab sebenar Datuk Seri tarik diri daripada kerajaan negeri?
IDRIS: Ini masa sesuai untuk UMNO bekerjasama dengan DAP yang mewakili masyarakat Cina. UMNO mewakili orang Melayu dan dengan usaha mengintegrasi ini kita dapat satu horizon baharu dalam politik negara. Sepatutnya dia orang (UMNO Pusat) ‘sudah baca saya punya kenyataan melalui kumpulan orang itu.’
Tapi orang Melayu masih belum boleh terima DAP?
Orang Melayu tidak terima DAP disebabkan momokan kita juga. Kita bagi tahu DAP ini ‘sosialis’ dan sebagainya. Cerita dia (DAP), kita pun tak betulkan juga. Kalau tak dapat terima dan you lost connection, buat apa. Kita terima MCA, tapi MCA tak bantu pun.
Apa yang tidak kena (UMNO) Melaka ini?
Model yang di Melaka masih lagi nak tunjuk keangkuhan dalam struktur. Di cawangan-cawangan seluruh negeri (konon) kitalah yang paling mantap dan sebagainya tetapi all this presentation dah tak sesuai dengan pilihan raya umum (PRU). Buat apa?
DAP di Melaka ada 120 cawangan tapi macam mana boleh menang kawasan-kawasan Cina? Kenapa UMNO yang ada 500 cawangan tak boleh menang solid kawasan-kawasan Melayu? Kita kena kaji daripada sokongan rakyat. Struktur UMNO yang ada pada cawangan-cawangan itu adakah membantu rakyat atau akhirnya membantu ahli UMNO? DAP pula di cawangan ada 50 orang sahaja, tapi bekerja membantu rakyat.
Nampak jelas Datuk Seri belot pada UMNO?
Orang pandang tindakan saya ini sebagai pengkhianatan, tapi terserah kepada mereka nak fikir. Cuma, saya harap akan buka mata. Sebenarnya mungkin untuk selamatkan UMNO dan rakyat Melaka.
Benda ini praktikal masa ini. Kalau katakan lepas merdeka atau tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an mungkin modul yang ada ini tidak sesuai, tapi sekarang 2021, milenium.
DAP pernah perintah negara pun (Mei 2018 hingga Februari 2020), mereka mesti belajar daripada kesilapan. Masa itu nak buat secara drastik mungkin tak sesuai, tapi hari ini Melaka boleh diberi peluang membuktikan kalau Perdana Menteri ambil berat mengenai Keluarga Malaysia. Melaka yang didiami 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 10 peratus India akan menjadi lapangan terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia atau Kerajaan Perpaduan Keluarga Malaysia.
Kita tak bolehlah ada set Exco yang hanya 100 peratus Melayu. Jadi, suara masyarakat tidak didengari sepenuhnya dalam badan pembuat dasar tertinggi negeri. Nampak tempang. Adakah modul seperti ini boleh bertahan untuk PRU akan datang ini? Boleh atau tidak?
Masyarakat berbilang bangsa, tapi modul kepimpinan Melayu? Bolehkah mewakili Keluarga Malaysia? Kita tak nampak ada logiknya. Jika ada satu kerajaan yang mempunyai perwakilan kaum kita letakkan fungsi masing-masing ke arah pembelaan nasib rakyat, penambahbaikan ekonomi untuk pulih daripada pandemik Covid-19, itu adalah lebih praktikal dan ikhlas. Asyik nak main politik saja, akhirnya PRU kita kalah.
Tindakan Datuk Seri ini sudah ambil kira ‘penangan’ Undi18 nanti?
Kita mesti bersiap sedia berhadapan pengundi 18 (Undi18) dan ke atas yang jumlahnya 5.8 juta orang ini. Melaka boleh jadi medan uji kaji lapangan semangat Keluarga Malaysia tapi intinya semangat perpaduan yang diuar-uarkan Perdana Menteri. Berbanding modul sebelum ini yang 100 peratus Melayu dan tiada lambang mewakili kaum. Bukan niat saya nak jatuhkan Melayu. Kalau tengok dalam media sosial, boleh lihat emosi yang diluahkan orang muda betul-betul tak ada kesian. Dia tala UMNO secara rapat. Ini suatu cabaran besar. UMNO kena ada satu paradigma baharu.
Ada individu salahkan Datuk Seri jatuhkan kerajaan Melaka yang mempunyai 100 peratus masyarakat Melayu Islam?
Di mana letak Melayu Islam sebagai rahmat kepada sekian alam? Apa guna dalam kepimpinan Melayu Islam tapi melupakan kaum-kaum lain sedangkan pembelaan itu mesti merata. Bukan sahaja untuk Melayu Islam tapi semuanya, dengan semangat orang Melayu kita. Cara orang Islam ialah kita jaga dengan lain-lain bawa bersama. Dan tidak bermakna membela orang lain, kita akan meninggalkan Islam. Kita tak mahu Islam itu pula dilihat sebagai jumud. Islam ini universal.
Lihatlah Islam dari mata burung, jangan lihat Islam dari bawah tempurung, Kalau kita kata inilah pertama kali dalam sejarah semenjak kemerdekaan ‘Kerajaan Melayu 100 peratus Melayu Islam,’ itu bukan satu kebanggaan. Itu macam anda hadkan Islam kepada satu tahap. Jangan bagi Islam dalam konteks Melayu sahaja, tapi Malaysia.
Saya kecewa dengan dakwaan ‘ini (Melaka) satu-satunya kerajaan Melayu Islam yang dijatuhkan pengkhianat.’ Saya pun tak tahu siapa pengkhianat? Saya sokong pendekatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bawa semangat Keluarga Malaysia tapi intinya terpaksa ada elemen integrasi, Kenapa kita tidak lepaskan pegangan lama?
Jika tidak, kita akan jadi seperti Nokia dan phone lain. Bukankah kita tak dengar lagi pasal Nokia?











