Undi18: Kematangan jadi penentu - Utusan Malaysia

Undi18: Kematangan jadi penentu

Undi18 dijangkakan mula dilaksanakan selewat-lewatnya September tahun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Remaja berusia 18 tahun layak mengundi bukan lagi ura-ura apabila usul yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad itu diluluskan dalam Dewan Negara pada Julai 2019.

Sekiranya Undi18 dilaksanakan, seramai 1.2 juta remaja berusia 18 hingga 21 tahun selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar boleh terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Namun kebimbangan mengatakan rakyat yang berumur 18 tahun belum cukup matang memilih pemimpin. Mereka dikhuatiri mengundi mengikut pengaruh atau emosi.

Sejauh mana remaja kita matang dalam menilai sekali gus menentukan tampuk pimpinan kerajaan?

Pakar Psikologi, Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, remaja perlu diberikan pendedahan berhubung politik semasa supaya mereka bijak menilai kerana kematangan individu banyak bergantung kepada latar belakang selain situasi kehidupan mereka.

DR. MARYANI MD. NOR

Katanya, remaja sudah boleh faham tetapi dikhuatiri keputusan dilakukan dipengaruhi pihak lain, bukan atas kemahuan mereka sendiri.

“Remaja adalah golongan yang mudah dipengaruhi dan kematangan mereka berbeza mengikut latar belakang kehidupan.

“Mungkin ada kalangan mereka yang boleh membuang undi tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan mungkin ada yang membuat keputusan berdasarkan pandangan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas isu undi 18 tahun.

Isu pengundi 18 tahun dicetuskan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekaligus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda.

Negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan perlembagaan menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, diluluskan Parlimen dan mendapat perkenan Agong. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan

Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kerajaan berpendapat Undi18 boleh dilaksanakan selewat-lewatnya September 2022 berdasarkan kerangka kerja ditetapkan selepas diwartakan pada 2018.

KETOKOHAN DI MEDIA SOSIAL

Dahulu ketokohan pemimpin dinilai menerusi kerja dan kerap turun padang, namun hari ini karisma diukur menerusi keaktifan di media sosial.

Justeru dalam memberikan pendedahan kepada remaja mengenai kepemimpinan, tokoh politik tempatan perlu bergerak mengikut aliran iaitu aktif di media sosial atau memiliki cybertrooper sendiri.

“Media sosial adalah platform remaja mendapatkan maklumat. Saya mencadangkan pemimpin perlu aktif di situ. Jika kita lihat sekarang banyak pemimpin seperti ketua kampung, ahli politik dan sebagainya gemar memuat naik perkembangan setempat di sosial media.

“Ini bertujuan memaklumkan orang ramai bahawa mereka melaksanakan tanggungjawab. Kalau mereka tidak berbuat demikian, akan timbul persoalan dalam kalangan rakyat. Ini adalah arus yang perlu diikut oleh pemimpin kini,” katanya.

Remaja berumur 18 tahun dibenarkan mengundi berbanding usia 21 tahun sebelum ini.

Beliau menyifatkan pemimpin yang tidak aktif di media sosial sebagai ‘kecundang’ kerana apa yang mereka lakukan tidak diketahui orang ramai.

“Memang dalam agama bila kita berbuat baik tidak perlu untuk ditunjuk, tetapi zaman sekarang berbeza. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar memaklumkan bahawa kita buat kerja, untuk rekod sendiri. Bukan untuk pamerkan kebaikan tetapi kita perlu mengikut arus,” katanya.

Tegas Mariani, sekiranya undi18 akan terus dilaksana pemimpin perlu mengikut arus iaitu berkempen di media sosial.

“Kita tidak mahu mereka dipengaruhi influencer lain yang hanya cenderung pada satu pihak sahaja.

“Kalau semua pemimpin parti mempunyai laman media sosial dan golongan 18 tahun ini mempunyai akaun di laman tersebut, mereka boleh membuat timbang tara,” katanya.

REMAJA TIDAK SABAR MENGUNDI

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Darwisy Roslan mengakui bersedia mengundi malah tidak sabar menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Katanya, dari segi undang-undang, seorang yang berumur 18 tahun sudah boleh memohon pekerjaan atau jawatan di sektor kerajaan dan mereka juga boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan yang mereka lakukan. Maka soal matang atau tidak bukan lagi suatu persoalan.

DARWISY ROSLAN

“Jumlah ambilan mahasiswa universiti baharu setiap tahun di Malaysia secara kasar ada lebih kurang satu juta. Ada yang sudah mula bayar yuran sendiri, ada pula yang dapat biaya kerajaan.

“Sejumlah wang diberikan secara bulanan atau tahunan dengan kepercayaan mereka mampu mengurus kehidupan masing-masing dalam aspek pendidikan.

“Secara tidak langsung kepercayaan itu sudah diberikan. Saya yakin dengan kemampuan anak-anak muda ini untuk menilai arah tuju negara,” katanya.

Jelasnya, walaupun ada mendakwa remaja mudah dipengaruhi, keputusan mengundi sebenarnya bergantung kepada tahap pemahaman remaja itu sendiri.

Kata Darwisy, walaupun ada kemungkinan sesuatu keputusan boleh dipengaruhi faktor persekitaran dan orang lain, namun pada akhirnya ia terpulang pada individu dalam menilai baik dan buruk keputusan yang diambil.

“Seiring pelaksanaan itu, sistem pendidikan politik dan penglibatan belia dalam sektor pembinaan polisi negara perlu diperkasakan,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan pelajar fakulti komunikasi dan pengajian media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nurul Nazifa Noor Effendy.

Beliau mencadangkan kewujudan syarat tertentu seperti pendedahan kepada subjek pendidikan politik negara.

NURUL NAZIFA

Katanya subjek itu perlu dilaksanakan pada peringkat sekolah agar remaja mendapat pendedahan awal secara ilmiah dan bantuan guru-guru.

“Pada era arus pemodenan ini, terlalu banyak maklumat yang mudah diakses dari pelbagai platform tanpa diketahui kesahihan sumber tersebut yang boleh mempengaruhi undi seseorang.

“Mereka yang berusia 20-an dan ke atas juga boleh dipengaruhi, apatah lagi golongan remaja ini.

“Sudah tentu ada pihak yang akan cuba untuk mempengaruhi mereka dalam keputusan untuk membuang undi, pengaruh itu boleh datang dari ibu bapa, ahli keluarga atau kenalan sekeliling,” kongsinya.

Nazifa berkata, remaja pada usia 18 tahun masih di fasa peningkatan kematangan di mana mereka masih belum bersedia untuk menilai kertas undi sebaiknya.

“Saya tidak bersetuju untuk had penurunan Undi 18, namun memandangkan ia akan dilaksanakan tidak lama lagi, saya berharap subjek pendidikan politik akan segera diperkasakan di peringkat sekolah bagi mendidik dan memberi fahaman kepada golongan remaja akan sejarah dan sistem politik tanah air,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×