RAKYAT berasa lega apabila Kerajaan Persekutuan tidak mengabaikan soal usaha memantapkan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk tempoh 2021-2025. Lagipun, aspek itu adalah asas untuk memastikan kemakmuran ekonomi, keamanan rakyat dan kestabilan negara ini dilindungi seiring matlamat gagasan Keluarga Malaysia.
Rakyat berharap langkah menambah baik kesiapsiagaan dan kawalan sempadan turut mengambil kira tindakan-tindakan preemtif berdasarkan perkembangan terbaharu di sekeliling kita serta permainan kuasa-kuasa besar melibatkan ketenteraan dan sensitiviti diplomatik di Laut China Selatan mahupun rantau Asia Pasifik. Perkembangan terkini di Afghanistan juga mula mencorakkan percaturan baharu di Asia selatan.
Aspek keselamatan negara juga mesti bersandarkan kepada isu-isu lama dan sedia ada yang belum selesai seperti tuntutan bertindih wilayah tertentu di Laut China Selatan. Selain itu, konflik etnik dan ketenteraan dalaman seperti di Myanmar serta gerakan pembebasan dan keganasan di selatan Thailand dan ancaman militan di perairan Sabah dan selatan Filipina tidak boleh diambil ringan kerana ia mudah dimanipulasi sehingga menarik campur tangan kuasa besar.
Kini, ancaman siber menjadi beban berat bagi pertahanan semua negara. Ia bukan bukan sahaja melibatkan keselamatan dan ketenteraan malah aspek ekonomi, pentadbiran negara serta operasi strategik lain.
Jadi, sudah tiba masanya untuk negara menambah baik serta mengukuhkan keselamatan serta pertahanan siber daripada ancaman termasuk yang pernah digambarkan oleh Israel, baru-baru ini. Peralihan sistem keselamatan di negara maju kepada penggunaan ‘tentera dron’ wajar dikaji dan dengan jujur membandingkan di mana tahap kekuatan, keberadaan serta keupayaan negara dalam pertahanan siber ini.
SIBUK
Wilayah Maritim Selatan merangkumi Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor berada dalam zon yang kritikal. Zon ini menempatkan pelbagai perkara strategik dan kritikal termasuk membabitkan kepesatan pertumbuhan ekonomi dan zon perdagangan yang penting, kedudukan logistik termasuk tiga pelabuhan utama serta pantainya yang menghadap laluan kapal paling penting dan sibuk di dunia iaitu Selat Melaka.
Di perairan Pengerang terletaknya pintu masuk ke lebuh raya laut dikenali sebagai traffic separation scheme (TSS) selebar 16 kilometer dan seterusnya memasuki perairan Selat Singapura dan menghala Selat Melaka sejauh 105 kilometer.
Di daratan Pengerang pula terletak hab industri petrokimia serta minyak dan gas yang sedang menuju menjadi hab utama di rantau ini. Ia melibatkan pelaburan ratusan bilion ringgit oleh pelbagai syarikat multinasional dan ini memerlukan jaminan keselamatan yang lebih kukuh dalam RMK-12 seiring perkembangan di sekeliling.
Justeru, penguasaan dan pemerkasaan sistem keselamatan untuk pertahanan kedaulatan perairan negara di timur Johor dan Selat Melaka tidak boleh diabaikan malah sebaliknya perlu dipertingkatkan segera. Kehadiran pasukan keselamatan di kedua-dua perairan itu mesti dilihat lebih jelas dan dominan supaya jaminan itu dimasukkan dalam senarai semak pelabur untuk menanam modal di negara ini.
Perairan pantai negeri dalam Wilayah Maritim Selatan juga terdedah kepada pelbagai risiko – ancaman keselamatan, jenayah laut terancang (penyeludupan dadah, senjata, kenderaan dan barangan), pelacuran serta penyeludupan migran untuk pemerdagangan manusia. Rekod menunjukkan, negara juga kerap menjadi sasaran pemilik kapal membuang sisa minyak sehingga mencemari pantai, paya bakau serta perairan negara.
MALU
Kita sewajarnya malu apabila Malaysia menduduki ranking nombor satu bagi pemerdagangan tembakau (rokok) di pasaran gelap dunia. Menurut Euromonitor International, dagangan rokok seludup di negara ini hampir mencecah 65 peratus atau kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan pasaran rokok seludup dunia pada 2019.
Selain memalukan, ranking ini pasti mendorong orang asing mencemuh ketidaksungguhan kerajaan membanterasnya. Tahap bolos yang tinggi ini juga akan mencetuskan interpretasi dan persepsi negatif bahawa sistem keselamatan sempadan negara sangat rapuh.
Tidak kira, sama ada ia disebabkan kelemahan penguatkuasaan, ketirisan integriti serta penggunaan sistem dan teknologi lama atau rangkuman ketiga-tiganya sekali.
Dalam skop yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendedahkan wujud lebih 15 lokasi yang menjadi lorong tikus bagi sindiket penyeludupan migran membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk keluar atau masuk melalui perairan Johor.
Lorong sama turut wujud di sebelah Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Kemunculan PATI bukan sahaja indikator kepada kelemahan kawalan perairan dan darat malah melarat kepada isu keselamatan negara, kecamuk sosial, menutup peluang pekerjaan anak watan serta menelan bajet negara. Imigran haram juga kerap terkait dengan soal keselamatan kesihatan, pertelingkahan imigresen dan diplomatik serta pelbagai sensitiviti.
Untuk memenuhi inisiatif ini, negara memerlukan lebih banyak aset ketenteraan dan penguatkuasaan maritim. Cadangan membina Sistem Pemantauan Laut Polis Marin bagi lima wilayah maritim adalah sebahagian daripada inisiatif tersebut. Meningkatkan rondaan laut dan pantai, tambahan aset untuk penguatkuasaan, penubuhan pasukan elit dan pembinaan pusat-pusat kawalan tetap di lokasi strategik, menambah anggota serta penyatuan operasi adalah antara yang dicadangkan dalam RMK-12.
Kartel sindiket juga sentiasa berusaha untuk berada satu langkah di depan pasukan penguatkuasa. Buktinya, percubaan menyeludup masuk dadah, minuman keras, makanan meragukan yang dilabel halal serta produk lusuh dan sisa industri sentiasa dilakukan. Justeru, membanteras jenayah ini perlu dilakukan meliputi operasi menggempur dan melumpuhkan rantaian sindiket, bukan mematahkan percubaan menyeludup semata-mata.
Rakyat juga tertarik dengan komitmen kerajaan yang akan memperkenalkan Dasar Pertahanan dan Keselamatan Negara dalam RMK-12 bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkenaan pertahanan dan keselamatan. Hanya diri sendiri yang akhirnya benar-benar boleh mempertahan dan menyelamatkan diri sendiri.
Dasar ini perlu lebih holistik serta inklusif demi kelangsungan Malaysia untuk satu jangka masa sejajar dengan senario dunia.
PENULIS ialah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor.











