HARI Isnin minggu pertama Oktober lazimnya menjadi sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, namun pandemik Covid-19 menyebabkan kemeriahannya terencat. Sudah dua kali ia tidak dapat disambut dengan meriah secara normal.
Bila bercakap tentang kanak-kanak semasa pandemik Covid-19 masih belum ke tahap endemik sikit masa lagi, ramai ibu bapa bimbangkan masa depan pendidikan anak masing-masing. Walaupun sekolah sudah mula dibuka, ketakutan terhadap kekurangan pendidikan bercampur baur dengan kesihatan dan keselamatan mereka semasa sesi pembelajaran dan pengajaran di tadika mahupun sekolah rendah.
Pada saat ini, vaksinasi remaja sedang dalam proses. Kita doakan agar ia berjalan lancar tanpa ada lagi kes picagari kosong atau insiden penerima vaksin rebah kerana lemah semangat atau takut.
Berbalik kepada nasib kanak-kanak sama ada dari sudut akademik mahupun kehidupan sosial, kerajaan sewajarnya mempunyai perancangan holistik untuk mengisi lompong kehilangan dua tahun dalam dunia seorang murid. Bayangkan pelajar berusia enam tahun yang tidak masuk sekolah selama dua tahun, tiba-tiba disuruh masuk tahun tiga.
Begitu juga pelajar sekolah menengah, perlu berada di tingkatan tiga, tahun depan.
Kelompangan ini hinggakan ada yang memberi kesan buta huruf di sekolah rendah disebabkan bukan semua ibu bapa mampu membeli telefon pintar untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Kanak-kanak di negara ini sekurang-kurangnya masih bertuah kerana kita mempunyai kemudahan internet 4G untuk belajar secara dalam talian berbanding kanak-kanak di zon perang dan krisis yang menerima pendidikan seadanya.
Nasib kanak-kanak kita dan di negara bergolak berbeza, sewajarnya kebimbangan pun jangan berlebihan sangat. Kita sebagai pemimpin juga ibu bapa pasti inginkan anak-anak yang masih hijau ini dapat hidup dalam dunia yang makmur pada masa depan.
Kanak-kanak hari ini adalah lelaki dan perempuan dewasa yang akan menjaga kita dan negara kelak. Umur 18 tahun pun sudah boleh memangkah kertas undi.
Sempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2021, pastikan anak-anak kita menjadi generasi muda terbaik, 20 tahun akan datang dan perancangan holistik untuk mereka bermula hari ini, saat ini.











