RMK12: Gembleng pakar wakaf kita - Utusan Malaysia

RMK12: Gembleng pakar wakaf kita

ANTARA langkah untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi adalah tumpuan terhadap penggunaan teknologi pintar dalam pelbagai sektor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu menyentuh banyak perkara pasal program kesejahteraan rakyat.

Sesuai dengan tema Keluarga Malaysia iaitu Makmur, Inklusif dan Mampan, beliau menarik perhatian peri pentingnya memulih dan menjana semula ekonomi dan landskap sosioekonomi pasca-Covid-19.

Antara perkara penting dikemukakan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi adalah program selaras perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0.

Perkembangan ini memberi keutamaan terhadap penggunaan teknologi pintar dalam pelbagai sektor.

Tidak dilupai, pengeluaran produk yang mampu mencapai nilai tambah tinggi di peringkat rantaian global.

Dalam konteks ini, agenda transformasi digital bagi memacu pertumbuhan berpaksi norma baharu pascapandemik diberi perhatian sewajarnya.

Begitu juga langkah mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi yang menumpu pada pendigitalan dan teknologi termaju.

Agenda MyDigital dan dasar IR 4.0 akan diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

Antara projek mega dilancarkan ialah Program Pembandaran Digital dan Bandar Rendah Karbon melibatkan semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Begitu juga pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk kemudahan rakyat.

Bagi mencapai cita-cita memulihkan pertumbuhan ekonomi berpaksi digital dan teknologi berimpak tinggi, institusi wakaf akan diperkasakan melalui penubuhan Tabung Wakaf Negara dan Pelan Induk Wakaf Negara di bawah Unit Pembangunan dan Pelaburan Wakaf.

Wakaf digital boleh melibatkan pendanaan awam atau bon (sukuk) untuk menyediakan prasarana digital melalui wakaf tunai dan wakaf peralatan yang mampu mengurangkan kos penyediaannya.

Antara konsep yang boleh dilaksanakan adalah wakaf musytarak (bercampur), wakaf muakkad (bertempoh) dan wakaf zurri (ahli keluarga).

Berdasarkan ilmu fiqh, terdapat dua jenis wakaf berdasarkan penggunaan harta yang diwakafkan iaitu wakaf ubasyir (dzati) iaitu apabila harta wakaf yang boleh digunakan secara langsung untuk manfaat dan kegunaan masyarakat umum secara meluas dan berterusan seperti kenderaan dan ambulans.

Wakaf istitsmari (pelaburan) pula adalah harta wakaf yang boleh dijadikan sumber pelaburan seperti saham, bon, penerbitan modal dalam sesuatu industri.

Apa pun, untuk melaksanakan wakaf digital ini, semua rukun dan syarat berwakaf mestilah dipatuhi supaya memenuhi garis panduan disediakan ulama muktabar dan agensi berkaitan wakaf.

Semua syarat dan rukun berwakaf hendaklah dipermudahkan supaya orang ramai memahami dan menyenangkan mereka berwakaf digital.

Begitu juga wakaf tunai untuk menyediakan dana wakaf peralatan digital yang boleh dikumpulkan melalui pelbagai cara termasuklah pendanaan awam secara dalam talian, potongan gaji dan sumbangan tunai.

MUSAFIR

Khidmat nasihat mengenai wakaf (atau endowmen) boleh diperoleh daripada Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar) di Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Waqaf Malaysia atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Selain itu, pakar-pakar wakaf yang ada di seluruh negara sudah tentu mampu memberi khidmat nasihat dan perundingan demi memajukan wakaf digital.

Apalah gunanya kemahiran dan kepakaran jikalau hanya terperosok dan tersimpan di rak-rak buku perpustakaan di menara gading tanpa disalurkan untuk membantu umat yang memerlukan?

Janganlah dibiarkan ilmu yang ada umpama pokok tidak berbuah. Sekurang-kurangnya biarlah pokok berkenaan boleh dijadikan tempat berteduh musafir lalu.

Sebagai permulaan, dana wakaf pendidikan tinggi yang terkumpul berjuta-juta ringgit di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) boleh digunakan untuk menyediakan kemudahan wakaf digital dan prasarana (seperti tiang menara, jalan dan elektrik) di seluruh kampus di negara kita.

Dengan adanya kemudahan prasarana digital lebih baik, sudah tentu siswa dan siswi dapat belajar lebih selesa demi kejayaan pada masa hadapan.

Tambah-tambah lagi ramai dalam kalangan mereka menggunakan peralatan media dan elektronik canggih dalam proses pembelajaran di universiti.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya kerajaan melihat dan menyusun semula urus tadbir dana wakaf dan endowmen pendidikan tinggi demi menyediakan kebajikan lebih baik kepada seluruh masyarakat kampus.

Tidak mustahil sekiranya satu bentuk Pelan Induk Dana Wakaf Pendidikan Tinggi Negara ditubuhkan dalam masa terdekat supaya urus tadbir dapat dimantap dan dibangunkan demi kepentingan seluruh masyarakat kampus.

Tidak mustahil juga sekiranya masyarakat cendekiawan di IPTA dan IPTS menggembleng seluruh tenaga mereka untuk memajukan wakaf prasarana melalui Akademi Profesor Negara.

Kita percaya, dengan ilmu dan kepakaran para profesor memberi idea dan saranan kreatif dan inovatif, mereka mampu mengolah cabaran yang ada supaya menjadi usaha untuk membugarkan manfaat wakaf secara digital di negara kita.

Terutama sekali bagi aktiviti akademik melibatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP), perundingan serta penyelidikan dan sebagainya.

Begitu juga peranan yang boleh dimainkan semua sektor dalam memajukan ekonomi melalui wakaf digital.

Semua agensi berkaitan komunikasi perlu menyediakan prasarana yang perlu untuk menjayakannya.

Begitu juga sektor perindustrian, pertanian, pendidikan, keselamatan dan sebagainya perlu bekerjasama dan membantu menjayakan program wakaf digital ini.

Agensi berkaitan wakaf sudah tentu mampu mempelopori kaedah yang menjadi amalan terbaik wakaf di dalam dan luar negara.

PROFESOR Dr. Ismail Omar ialah calon Pengarah Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Beliau juga Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×