Hasrat empat lelaki edar dadah terbantut apabila diberkas polis - Utusan Malaysia

Hasrat empat lelaki edar dadah terbantut apabila diberkas polis

DADAH jenis heroin, syabu dan pil erimin yang dirampas daripada empat suspek yang ditahan polis di dua buah lokasi berasingan berdekatan bandar Jerantut, Pahang. - GAMBAR IHSAN IPD JERANTUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Empat lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun ditahan polis di sini kerana membawa dadah di dua buah lokasi berasingan di sekitar daerah ini.

Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki masing-masing berusia 38 tahun membawa dadah jenis heroin dan syabu dalam kereta di sekatan jalan raya di pekan Damak, dekat sini pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, ketika ditahan suspek memberikan alasan untuk pulang ke kampung di Batu Balai dekat sini tetapi polis mengesyaki sesuatu lalu membuat pemeriksaan terhadap kereta Proton Wira yang dinaiki kedua orang lelaki tersebut.

“Hasil pemeriksaan polis menemukan dadah jenis heroin seberat 37.19 gram dan syabu seberat 4.74 gram dan merampas dadah tersebut manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek beralamat di Bandar Jengka Pusat juga positif dadah methamphetamine akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, hasrat dua orang lelaki untuk mengedar dadah di sebuah lorong Perumahan Kampung Mat Kilau dua, di sini juga tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis.

Menurut Mazlan, suspek lelaki berusia 29 tahun beralamat di rumah PPRT Kampung Batu Papan, Bera, manakala seorang lagi berusia 40 tahun yang juga seorang duda dari Kampung Bukit Kelulut, Temerloh dijejaki polis ketika menunggu pelanggan dalam aktiviti pengedaran dadah di tepi lorong di perumahan kampung tersebut.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta Proton Satria suspek, polis telah merampas sebuah beg berwarna hitam mengandungi dadah jenis heroin seberat 106 gram, dadah syabu (81 gram), Pil Erimin 5 (30 biji), manakala kedua suspek juga didapati positif dadah methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat di bawah di bawah seksyen 39B ADB 1952, manakala anggaran nilai dadah yang dirampas daripada mereka, iaitu berjumlah kira-kira RM7,900.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah diminta menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut menerusi talian 09-2662222 sambungan 262,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×