JOHOR BAHRU: Pengaruh kluster mahkamah yang semakin terdesak dilihat menjadi punca UMNO tidak mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, PN khususnya Bersatu juga sudah banyak mengalah kepada UMNO termasuk sehingga sanggup melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor dan Perak kepada parti itu.
“Saya lihat Perdana Menteri tiada masalah untuk bekerjasama tetapi kluster mahkamah ini yang buat hal atas kepentingan diri. Kalau UMNO memilih untuk tidak bersama PN, kemungkinan besar undi Melayu akan berpecah, jadi terpulang kepada UMNO,’’ katanya di sini semalam.
Antara tokoh besar yang tergolong dalam kluster mahkamah adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan
Kata Che Zakaria, sekiranya semangat setiakawan tersebut tidak dihargai, maka wajar Bersatu dan PN menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Bersatu tidak akan terhegeh-hegeh jika UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PN khususnya di Johor.
“Pada PRU-15 nanti, Bersatu akan bersama parti yang mahu bekerjasama dengan kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu apakah daya. Kita harapkan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu,’’ katanya.
Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU-15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 jika mereka memilih untuk bersama.
“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.
Mengulas lanjut, Che Zakaria turut memberitahu, pihaknya berpendapat Bersatu adalah parti paling ideal dan relevan dalam PRU-15 terutama untuk orang Melayu dan bumiputera membuat pilihan sekali gus menggantikan UMNO.
“Bersatu konsisten dengan perjuangan asal penubuhannya iaitu menolak kleptokrasi dan amalan rasuah. Kita bukan sahaja mempertahankan hak dan kepentingan bumiputera tetapi semua kaum di negara ini.
“Jika mahu bekerjasama memikirkan penyelesaian masalah rakyat, mari kita duduk bersama-sama. Sebaliknya jika masih dengan perangai lama, mengejar projek, kekayaan dan mementingkan diri sendiri, ini kita perlu tolak,” ujarnya. – UTUSAN







