Lengkapkan vaksin baru buka sekolah - Utusan Malaysia

Lengkapkan vaksin baru buka sekolah

AHMAD AS-SYAHEED Ahmad Misbah menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas menerima suntikan dos pertama di PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Segelintir ibu bapa masih keberatan untuk membenarkan anak mereka mengikuti pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka di sekolah, meskipun sudah mendapat suntikan dos pertama Covid-19.

Mengakuinya kepada Utusan Malaysia, seorang ibu, Suzana Osman, 55, berkata, ini kerana dos pertama tidak dapat memastikan antibodi anaknya cukup kuat untuk melawan virus maut itu.

Katanya, kehadiran pelajar dari negeri lain yang merekodkan kes jangkitan harian tinggi bagi mengikuti sesi persekolahan pada awal bulan depan, turut menggusarkan hatinya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mempercepatkan vaksinasi untuk pelajar sekolah. Kalau boleh, biarkan pelajar selesai dua dos vaksin terlebih dahulu, baru dibenarkan ke sekolah.

“Ibu bapa yang berada di rumah tidak terlalu bimbang. Selain itu, jika anak mengalami alahan terhadap vaksin, keluarga boleh memantau terus keadaannya di rumah,” katanya ketika ditemui.

Akhbar ini semalam melaporkan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk pelajar sekolah berjalan lancar dengan peratusan terkini mencatat sehingga 30.1 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta individu berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama vaksin.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, sebanyak 4.4 peratus pula telah lengkap dua dos melalui pelaksanaan imunisasi di 687pusat pemberian vaksin (PPV) awam sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), klinik kerajaan dan balai polis.

Sementara itu, seorang pelajar, Ahmad As-Syaheed Ahmad Misbah,17, berkata, dia kini berasa yakin dan selamat untuk kembali ke sekolah, walaupun baru menerima dos pertama.

Menurutnya, imunisasi adalah penting kerana sebahagian besar pelajar hanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat yang boleh dipantau guru.

“Selain itu, mereka tidak mengikutinya. Penjarakan sosial hanya berlaku di kawasan tertentu seperti kelas, kantin dan perpustakaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×