PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan satu indikator bagi pelaksanaan pemilihan UMNO malah tiada gesaan untuk mempercepatkan pemilihan parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menentukan tarikh-tarikh mesyuarat termasuklah Perhimpunan Agung dan Pemilihan UMNO.
“Bila tarikhnya nanti adalah bergantung pada keadaan. Tidak dapat untuk kita katakan sama ada pemilihan UMNO akan dilakukan sebelum atau selepas PRU-15 kerana kita juga tidak tahu bila pilihan raya.
“Parti telahpun meminta pandangan daripada agensi-agensi kerajaan tentang sama ada kita dapat mengadakan pemilihan atau pun tidak, namun nasihat daripada agensi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) ada dua iaitu boleh buat pemilihan tetapi haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Yang keduanya, dibuat secara maya. Jadi dalam tahun pemilihan, kalau hendak dibuat secara maya, itu agak susah dan kita juga tidak boleh mengarahkan ahli untuk tidak hadir, cukup setakat satu per empat korum sahaja,” jelasnya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN











