BNM lancar MYOR, kadar rujukan alternatif baharu bagi Malaysia - Utusan Malaysia

BNM lancar MYOR, kadar rujukan alternatif baharu bagi Malaysia

MALAYSIA berbesar hati telah mempengerusikan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) selama dua tahun dan akan digantikan oleh Kanada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelancaran Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) sebagai kadar rujukan alternatif (ARR) baharu bagi Malaysia.

Menurut BNM, di peringkat global, ARR diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan transaksi, sejajar dengan pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR) selepas krisis kewangan global.

Jelasnya, pengenalan ARR bertujuan untuk mempermudah penggunaan kadar penanda aras yang lebih mantap dan berdasarkan transaksi dalam pasaran kewangan yang cair dan aktif.

“Dalam Malaysia, MYOR akan beroperasi selari dengan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) sedia ada, dengan tinjauan berkala untuk memastikan bahawa kadar penanda aras kewangan tetap mantap dan mencerminkan pasaran asas yang aktif,” katanya dalam kenyataan.

Bank pusat itu berkata, pendekatan berbilang kadar itu disokong oleh Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) dan diterima pakai oleh banyak negara lain.

Katanya, ketersediaan dua kadar penanda aras kewangan akan memberikan fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk memilih kadar yang paling sesuai dengan keperluan mereka dan membantu membangunkan produk berasaskan MYOR.

“Penawaran produk berasaskan MYOR akan menyediakan instrumen lindung nilai yang lebih pelbagai bagi menyokong strategi pengurusan risiko tembahan,” jelas BNM.

Bersempena pelancaran MYOR, BNM telah menerbitkan Dokumen Dasar MYOR yang memasukkan ciri-ciri utama dan piawaian tadbir urus yang dibangunkan bersama Jawatankuasa Pasaran kewangan (FMC) melalui proses maklum balas orang ramai yang mantap.

“MYOR akan ditadbir dan dikira oleh BNM sebagai kadar purata berwajaran jumlah bagi urus niaga ringgit semalaman tanpa cagaran antara bank, termasuk operasi monetari semalaman BNM (tidak termasuk Kemudahan Tersedia),” jelasnya lagi.

BNM juga katanya, akan menamatkan penerbitan tempoh KLIBOR 2 dan 12 bulan, iaitu kadar yang paling kurang dirujuk dalam pasaran untuk kontrak kewangan pada 1 Januari 2023.

Tempoh KLIBOR satu, tiga dan enam bulan yang terus mencerminkan pasaran asas yang aktif akan dikaji pada separuh kedua 2022, jelas bank pusat itu.

“Sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk terus membangunkan pasaran kewangan Islam, BNM dengan kerjasama FMC dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (IMTDC) AIBIM-FMAM5 akan membangunkan kadar penanda aras Islam baharu untuk menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR) pada separuh pertama 2022,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×