PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil kira peruntukan untuk golongan miskin baharu yang berlegar di atas garis kemiskinan dalam pembentangan Bajet 2022 nanti.
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, langkah itu bagi memastikan tiada golongan yang tercicir sedangkan mereka sepatutnya mendapat bantuan tahun hadapan.
Ujarnya, statistik negara kebanyakannya menggunakan data statik yang mengambil masa untuk dikumpul sekali gus dikhuatiri golongan yang menuju kemiskinan tidak termasuk dalam Bajet 2022.
“Disebabkan pandemik Covid-19, sudah ramai golongan M40 yang tergelincir ke B40, namun kita jangan lupa ada segelintir daripada mereka yang kini berlegar di atas garis kemiskinan dan bakal jatuh miskin.
“Mungkin lima peratus sudah berada pada tahap tersebut. Jadi, adakah peruntukan untuk mereka? Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah awal dengan tetap menyediakan peruntukan menjelang tahun hadapan.
“Perkara ini dapat diatasi jika kita menggunakan data dinamik yang boleh dikumpul dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya,” katanya ketika menjadi panel dalam Persidangan Meja Bulat Bajet 2022: Pemangkin Pemulihan dan Pembaharuan Ekonomi Malaysia? secara maya, semalam.
Dalam majlis sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut melancarkan Forum Ekonomi Malaysia anjuran Sekretariat Jaringan dan Alumni (SJA) di bawah pengurusan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Madeline, kerajaan juga perlu mengimbangi pemberian bantuan yang lebih mengutamakan pendapatan dan bukan sekadar bantuan berbentuk wang sahaja.
“Sebagai contoh, kurangkan harga barang supaya dapat mempertingkat kuasa pembeli sekali gus melonjakkan ekonomi negara. Bantuan seperti ini lebih efektif dan untuk jangka masa panjang.
“Selain itu, beri bantuan mengikut keperluan dan bukan sekadar memastikan bantuan disalur sama rata. Kita perlukan cara baharu untuk menyelesaikan kemiskinan dan kenal pasti golongan miskin, pada masa sama tidak terlepas golongan di tengah-tengah garisan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berpendapat, semua lapisan masyarakat terkesan dengan pandemik yang melanda dan kerajaan perlu mengenal pasti ‘kecederaan’ yang mereka hadapi sebelum membentangkan Bajet 2022.
“Kita berat sebelah dan beremosi dengan hanya menumpukan kepada industri mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tidak dinafikan, mereka adalah golongan rentan yang amat terjejas dalam situasi ini namun perniagaan besar turut merasakan keperitan yang sama.
“Justeru, kerajaan perlu mengenal pasti bantuan terbaik kerana kita tidak boleh mengambil mudah kesengsaraan golongan dan sektor yang lain dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” jelasnya. – UTUSAN










