Lambakan mainan di pasaran memudahkan ibu bapa untuk membeli. Daripada sekecil-kecil saiz, sehingga sebesar-besarnya. Ada sahaja mainan yang akan dibeli dan dibawa pulang untuk anak-anak.
Perlu atau tidak ibu bapa menyediakan mainan yang banyak kepada anak-anak? Persoalan itu sering timbul terutama kepada ibu bapa muda yang baru memiliki cahaya mata.
Mungkin perasaan kasihan atau terlalu teruja menjadikan mereka memanjakan anak dengan membelikan pelbagai jenis mainan hingga akhirnya memenuhi setiap sudut kediaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, selebriti popular, Hanis Zalikha mempunyai peraturan sendiri ketika membeli mainan baharu buat dua anaknya, Yusuf Iskandar, 5, dan Alisa Aisyah, 2.
Beliau mendidik anak-anaknya ‘melepaskan’ secara sukarela mainan lama sekiranya sudah ada mainan baharu dengan menderma kepada kanak-kanak lain yang lebih memerlukan.
“Peraturan ini saya buat bagi mengelakkan mainan terlampau banyak. Jika terlampau banyak mainan, proses mengemas pun akan jadi lebih sukar. Bukan itu sahaja, bila kita sudah mendidik anak untuk menderma mainan itu, ia secara tidak langsung dapat melatih anak-anak supaya lebih peka dalam pemilihan jenis barang.
“Selain itu, mereka tidak akan sewenang-wenangnya meminta mainan yang baharu kerana mungkin mainan kegemaran mereka akan diberikan kepada orang lain,” katanya.

Isteri kepada pelakon Hairul Azreen yang memiliki lebih enam juta pengikut di Instagram berkata, dia turut membiarkan anak-anaknya memilih jenis mainan yang ingin mereka berikan kepada orang lain.
Teknik ini melatih anak-anak supaya dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka.
“Ini juga menjadikan mereka mempunyai tanggapan bahawa pendapat mereka dihargai daripada kecil hingga dewasa kelak,” katanya.
Kelebihan memiliki mainan dalam jumlah terhad:
Menjadi lebih kreatif
Pada peringkat awal, kanak-kanak akan menjadi bosan tetapi lama-kelamaan mereka menggunakan barang asas atau sumber dari persekitaran untuk mencipta permainan dan mempunyai imaginasi tinggi untuk bermain.
Memanjangkan tempoh tumpuan
Terlalu banyak mainan akan mengganggu kanak-kanak untuk kekal fokus. Contohnya, jika permainan itu memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka akan berpindah kepada mainan yang lain jika gagal menyelesaikan masalah kerana ada pilihan yang lebih mudah.
Oleh itu, kemahiran menyelesaikan masalah yang diinginkan itu tidak menjadi.
Kemahiran bersosial menjadi lebih baik
Dalam perkembangan sosial, bukan semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling, tetapi kanak-kanak perlu belajar cara mengekalkan hubungan dengan kawan-kawan dalam tempoh yang panjang.
Ia secara tidak langsung mengasah kemahiran berinteraksi. Mereka akan belajar menghargai orang sekeliling.
Menjaga barang
Ini perkara penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan mainan sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar untuk menjaga dan menghargai barang sendiri.
Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang.











