Komando Paskal rasai 'penyeksaan' - Utusan Malaysia

Komando Paskal rasai ‘penyeksaan’

Salah satu ujian 'water jump' di mana peserta kursus membuat terjunan dari helikopter Super Lynx ke laut dengan peralatan tempur beserta fin dengan ketinggian lima meter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘TAHAN TINGGAL TAK TAHAN CABUT’. Itu frasa paling tepat bagi mana-mana anggota tentera atau polis yang mengikuti modul kursus asas komando termasuk Pasukan Khas Laut (Paskal).

Pelbagai modul disediakan untuk pelatih harungi hampir lima bulan yang dibuat bukan sahaja untuk menguji ketahanan fizikal semata-mata.

Sebaliknya, ia melibatkan ketahanan mental bagi menghadapi situasi sebenar dalam operasi khas.

Apa yang pasti pelatih sudah tahu sengsara yang bakal ditanggung sejak hari pertama melapor diri bagi mengikuti latihan yang diadakan secara sukarela itu.

Terbaharu sebanyak 25 daripada 97 pelatih termasuk seorang pegawai kursus asas Paskal Siri 70/2021 berjaya melepasi pahit getir. Sekali gus layak menyarung beret ungu dan trimedia yang menjadi kebanggaan anggota komando laut.

Antara halangan yang perlu ditempuh semua pelatih adalah ujian ketahanan Hell Week tanpa henti selama 72 jam sebagaimana modul yang digunakan bagi pengambilan anggota komando Navy Seal.

Selain itu, semua pelatih perlu lulus menjalani pelbagai latihan lain termasuk terjunan ke laut dalam keadaan kaki dan tangan diikat untuk berenang ke pantai.

Renang Down Proffing merupakan ujian yang wajib lulus bagi melayakkan peserta kursus memakai beret ungu di mana kaki dan tangan diikat untuk berenang merapat ke pantai.

Malah, pelatih juga perlu terjun ke laut lengkap memakai peralatan tempur beserta fin pada ketinggian lebih lima meter dari helikopter Super Lynx.

Sepanjang berlangsungnya kursus asas komando Paskal, pelatih turut mengharungi latihan beberapa peringkat.

Ia melibatkan peringkat pemanasan, peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, peringkat pelarian dan pelolosan serta ujian ketahanan akhir mental dan fizikal.

Bagi peringkat pemanasan iaitu pemilihan awal, pelatih perlu berenang di kolam sejauh 500 meter dalam masa kurang 10 minit dan berlari sejauh 6.8 kilometer (km) dalam masa kurang 30 minit bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Sepanjang kursus itu juga, pelatih perlu melakukan ujian kecergasan seperti tekan tubi, bangkit tubi, mendagu, lompat setempat, latihan lapan serangkai dan pelbagai teknik yang perlu dipraktikkan.

Mereka kemudian perlu melepasi ujian peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, peringkat pelarian dan pelolosan serta ujian ketahanan akhir mental dan fizikal.

Setiap pelatih mestilah mempunyai semangat juang serta keyakinan dan sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan yang mencabar.

Turut menjadi cabaran terbesar apabila pelatih perlu melepasi latihan ketahanan ‘tawanan perang’ apabila setiap mereka didedahkan dengan keadaan dan situasi sebenar ditawan musuh.

Mereka akan merasai setiap penyeksaan dan penderitaan memeritkan sepanjang ditawan musuh yang berusaha mendapatkan maklumat serta rahsia pertahanan negara.

Modul ini dilaksanakan bagi menguji semangat pelatih supaya tidak sewenang-wenangnya menceritakan segala rahsia negara yang disimpan sebagaimana termaktub dalam ikrar kesatria yang kelima iaitu – Menyimpan Rahsia Negara Dengan Seketat-ketatnya.

Selepas mengharungi kesengsaraan tersebut, semua 25 pelatih berjaya mengharungi cabaran itu dan dianugerahkan beret dalam majlis penutup Kursus Asas Paskal Siri 70/21 di Pusat Latihan Kemahiran Air, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Majlis itu turut disempurnakan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib; Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Muda Datuk Anuar Alias dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Mohd Ajis.

Mohd. Reza Mohd. Sany memakaikan beret ungu kepada pelatih yang berjaya menamatkan kursus Asas Paskal Siri 70/21 di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, baru-baru ini.

Bagi Laskar Kelas II PRL (PKL) Ismail Izhar Mohd. Dapie, antara rahsia mampu bertahan sepanjang empat bulan kursus adalah sokongan yang tinggi dari ibu bapa dan rakan-rakan seperjuangan.

“Saya berjanji dan bertekad kepada diri sendiri dan kedua orang tua yang saya akan menamatkan kursus ini hingga ke titisan darah yang terakhir. Inilah semangat yang akan saya buktikan terutama kepada keluarga yang jauh dan sentiasa mendoakan keselamatan serta kejayaan.

“Jurulatih juga memberi semangat pada setiap masa sepanjang kursus berjalan. Selain itu juga, apa yang menarik minat saya dalam Paskal ini adalah ianya mengajar saya pelbagai ilmu yang selama ini saya tidak ketahui.

“Contohnya mengajar saya bagaimana bertahan untuk hidup di dalam hutan tanpa makanan. Seterusnya, menjadikan pucuk-pucuk daun sebagai makanan untuk bertahan hidup,” ujarnya.

Bagi Laskar Kelas II PAP (PKL) Joe Irvine Johny, perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap tugas Paskal di samping ayahnya yang juga bekas anggota unit itu menjadi pendorong untuk kekal bertahan sepanjang kursus yang penuh mencabar itu.

“Ayah berkhidmat 24 tahun dalam Paskal. Beliau seorang yang sentiasa menepati masa, berpakaian kemas dan mementingkan aspek kebersihan.

“Malah beliau juga seorang yang mampu memimpin anggota bawahan dengan baik. Saya amat bersyukur dapat menyambung generasi darah keperwiraan ayah saya sebagai seorang anggota Paskal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×