AR-RAUDHAH
Bahagian penting pendidikan psikologi anak ialah mendidik sifat malu. Ia bermaksud mengawal sifat malu pada anak agar mereka tidak lebih kepada rasa takut berekspresi, bercakap atau berbuat sesuatu yang benar kerana malu.
Dalam masa yang sama hendaklah merasa mempunyai sifat malu dalam bertutur atau berbuat sesuatu yang melanggar etika dan adab. Tidak dinafikan bahwa sifat malu ialah bahagian daripada iman.
Ia seperti diingatkan oleh baginda Rasulullah SAW, namun biarlah malu itu bertempat bak kata peribahasa “malu bertanya sesat di jalan”.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a saat itu beliau belum baligh bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ada di antara pokok-pokok yang tidak jatuh daunnya, pokok itu merupakan perumpamaan bagi seorang muslim. Beritahukan lah padaku apakah nama pokok tersebut? Maka para sahabat menyebutkan nama-nama pokok yang berada di kawasan pedalaman. Dalam hati saya pokok itu ialah kurma, namun saya malu untuk menjawabnya. Lalu para sahabat berkata: Beritahukanlah kepada kami apakah nama pokok itu wahai Rasulullah ? Nabi bersabda: Itu ialah pokok kurma. (riwayat Bukhari)
Abdullah bin Umar segan untuk menjawab sebab beliau yang termuda berbanding yang lain. Beliau malu menjawab kerana bimbang merendahkan sahabat-sahabat nabi yang lebih senior daripadanya.
Akhirnya beliau memberitahu hal itu pada ayahnya (Umar bin Khattab). Umar berkata: “Kalau engkau menjawabnya lebih aku suka berbandingkan aku mendapat unta merah”.
Kata-kata Saidina Umar r.a adalah teguran dan didikan untuk anaknya agar malu bertempat dan berani mengatakan yang benar walaupun di hadapan yang lebih dewasa.
Semasa Saidina Umar r.a memerintah, beliau adalah khalifah yang sangat disegani oleh semua pihak kerana ketegasannya dan karismanya.
Sesiapa yang berhadapan dengan beliau akan berhati-hati dalam berbicara, khuatir mengundang kemarahannya.
Pada suatu hari, Amirul mukminin Umar r.a berjalan di salah satu lorong kota Madinah, terdapat kanak-kanak sedang bermain di lorong tersebut. Di antara mereka ialah Abdullah bin Zubair yang pada masa itu masih kecil sedang bermain juga.
Melihat Saidina Umar r.a lalu di lorong itu semua kanak-kanak lari kerana takut kecuali Abdullah bin Zubair. Lalu dihampiri oleh Saidina Umar r.a dan berkata: “Mengapa kamu tidak lari seperti yang lain”? Dia menjawab dengan tegas dan berani: “Saya bukan penjenayah sehingga saya perlu lari dari engkau, dan lorong ini pun tidak sempit sehingga saya perlu menghindar untuk memberi laluan untuk mu.”
Abdullah bin Zubair adalah cucu Saidina Abu bakar r.a iaitu anak kepada puterinya, Asma’ binti abu bakar r.a.. Seorang ibu yang mendidik sifat keberanian pada anak nya dalam mempertahankan kebenaran.
Ketika berlaku fitnah ketegangan politik pada pemerintahan Bani Umayyah, Abdullah bin Zubair datang dan mengadu kepada ibunya. Ibunya menjawab: “Wahai anak ku! Engkau lebih mengetahui akan dirimu, bila yang engkau perjuangkan ini ialah kebenaran maka teruskanlah, sebelum mu sudahpun ada yang gugur memperjuangkan kebenaran dan janganlah engkau biarkan budak-budak Bani Umayyah mempermainkan dirimu.
“Tetapi apabila engkau mahukan keduniaan pada perjuanganmu ini maka engkau adalah seburuk-buruk hamba, engkau telah binasakan dirimu sendiri an membinasakan orang-orang yang membela engkau.
“Kalau engkau berkata: Aku di pihak yang benar namun teman-temanku mengkhianatiku maka aku jadi lemah maka sikap ini bukanlah sikap orang yang merdeka dan bukanlah sikap orang yang beragama, berapa lama kamu akan berada di dunia ini, kematian dalam kebenaran adalah lebih baik”.
Maka Abdullah bin Zubair mencium kepala ibunya, memohon doa dan terus mempertahankan kebenaran sehingga gugur.
Antara cara mendidik sifat malu pada anak adalah tidak merendahkan kerana umurnya atau mentertawakannya jika melakukan kesilapan.
Didik anak memiliki sifat percaya diri
Semasa pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik berlaku kemarau panjang yang menyebabkan kebuluran. Maka datang rombongan dari pedalaman untuk mengadu keadaan mereka. Antara mereka ialah seorang kanak-kanak bernama Dirwas bin Habib.
Hisyam berkata kepada pengawalnya dengan sikap sinis, adakah setiap orang yang akan berjumpa denganku lalu diberi laluan walaupun kanak-kanak? Apa yang dimaksudkan itu ialah Dirwas bin Habib.
Dirwas berkata: “Wahai Amirul mukminin! Selama tiga tahun kami ditimpa kemarau panjang. Setahun pertama telah menghakis lemak pada daging, setahun kedua telah menghakis daging pada tulang dan tahun ketiga menghabiskan tulang pada badan.
“Sementara ada padamu harta yang melimpah jika harta itu milik Allah maka agihkanlah untuk hamba-hamba-Nya. Jika harta itu milik mereka yang datang padamu maka janganlah kamu menahannya. Jika harta itu milikmu maka hendaklah engkau bersedekah kerana sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang yang berbuat ihsan.”
Hisyam berkata: “Budak ini tidak meninggalkan sebab untuk aku tidak memberi”. Maka Hisyam memberi 100,000 dirham untuk mereka dan 100,000 dirham untuk Dirwas.
Namun Dirwas mengembalikan pemberian itu, Hisyam berkata: Adakah kamu tidak memerlukan ini? Dirwas menjawab: “Aku tiada keperluan untuk diriku lebih dari keperluan kaum muslimin ke atas pemberian ini.”

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










