PETALING JAYA: Kerajaan akan meletakkan sasaran mengurangkan kemiskinan sebagai antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan akhir bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang lebih buruk kepada situasi kemiskinan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Kata beliau, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020, sebahagian besarnya disebabkan kesan pandemik terhadap ekonomi.
Malah, jelas beliau, jumlah isi rumah miskin juga meningkat daripada 405,000 pada 2019 kepada 640,000 tahun lalu.
“Mengatasi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup golongan rentan adalah matlamat suci untuk seluruh umat manusia dan semua pihak patut bersatu mencapainya.
“Taraf kehidupan yang wajar ialah hak asasi manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya untuk Forum Antarabangsa untuk Asia Inklusif Baharu (IFNIA) 2021 bertemakan ‘Pengurangan Kemiskinan di China: Pengajaran untuk Negara Membangun’ yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Mustapa, pandemik Covid-19 membawa seruan untuk semua pembuat polisi agar berusaha lebih galak dan melaksanakan reformasi serta polisi yang perlu untuk mengatasi kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup golongan kurang bernasib baik.
Kata beliau, China telah membuktikan kemampuannya mencapai matlamat penghapusan kemiskinan yang ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 10 tahun lebih awal daripada jangkaan.
“China memberikan dunia, terutamanya negara membangun, contoh bagaimana polisi ekonomi dan sosial boleh membawa jutaan rakyat keluar dari kepompong kemiskinan.
“Mesejnya jelas – jika China mampu, kita juga mampu,” katanya.
Jelas Mustapa, usaha menghapuskan kemiskinan selalu ada dalam agenda pembangunan kebangsaan Malaysia sejak kemerdekaan.
Kata beliau, walaupun Malaysia berjaya dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar, sasaran ke arah penghapusan kemiskinan seperti yang dilakukan China tetap diusahakan.
“Selain kemiskinan tegar, Malaysia telah menggunakan indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang turut melihat kualiti kesihatan, pendidikan dan taraf hidup golongan miskin sebagai indikator penting dalam pengukuran kehidupan rakyatnya,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan mengulas laporan Jabatan Perangkaan mengenai peningkatan kadar pengangguran di negara ini pada Julai, Mustapa berkata, ia dijangka beransur-ansur pulih apabila lebih banyak negeri beralih ke fasa 2 khususnya Lembah Klang bermula esok (hari ini).
Kata beliau, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di Lembah Klang amat penting kerana ia menyumbang sebanyak kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kerajaan memandang serius isu peluang pekerjaan, khususnya pengangguran dalam kalangan belia serta guna tenaga tidak penuh berkaitan masa dan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
“Sehubungan dengan ini, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran pada tahun ini melalui kerjasama strategik agensi kerajaan serta pemain industri,” jelasnya.
Dalam laporannya, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur dalam negara meningkat sedikit kepada 778,200 pada Julai berbanding bulan sebelumnya. Kadar pengangguran pada bulan dilaporkan kekal 4.8 peratus. – UTUSAN










