Malaysia berisiko alami krisis makanan - Utusan Malaysia

Malaysia berisiko alami krisis makanan

Malaysia bakal mengalami krisis makanan jika kadar import dan eksport terus mengalami defisit sehingga meningkat kepada 35 peratus. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal mengalami krisis keselamatan makanan jika kadar defisit eksport dan import meningkat kepada 35 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang akibat terlalu bergantung bekalan dari negara-negara lain.

Ketika ini, Malaysia mengalami kadar defisit 24.9 peratus atau RM21.7 bilion apabila mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion pada tahun lalu.

Jika situasi itu tidak diberi perhatian, tidak ditolak kemungkinan jumlah itu semakin meningkat. Faktor utama menyumbang kepada defisit tersebut ialah keperluan negara menampung keperluan domestik dan permintaan tinggi terhadap industri makanan susulan pertambahan penduduk.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun manakala eksport berjumlah RM296 bilion sekali gus menunjukkan negara sangat bergantung kepada import makanan seperti daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, defisit perdagangan makanan dilihat lebih kritikal berbanding sektor lain kerana makanan adalah isu sensitif sekali gus boleh menjejaskan kestabilan tanah air.

Sekiranya perkara itu berterusan, kata beliau, negara mungkin berhadapan inflasi dan kenaikan harga barangan kerana terpaksa menampung kos import.

“Bukan sahaja aliran tunai keluar berlaku malah boleh menyebabkan peningkatan harga domestik. Misalnya harga daging lembu tujuh tahun dahulu sekilogram adalah RM20 namun kini mencecah RM40 iaitu peningkatan dua kali ganda.

“Keselamatan makanan adalah penentu kestabilan negara kerana soal makanan adalah sensitif sebab ini keperluan asas rakyat. Apatah lagi ketka situasi pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa negara menutup sempadan sekali gus menyukarkan keluar masuk makanan,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2016-2020 memaklumkan, negara mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion seperti direkodkan tahun lalu.

Dalam pada itu, Baharom berkata, sejak 20 tahun kebelakangan ini, Malaysia mengabaikan sektor pertanian apabila lebih memfokuskan kepada perkilangan dan perkhidmatan sehingga terpaksa mengimport makanan dari negara luar khususnya bekalan daging dan kelapa.

Lebih mengejutkan, beliau berkata, sumbangan industri pertanian negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak sampai 10 peratus jika dibandingkan dengan Jepun dan Belanda iaitu antara 10 hingga 20 peratus.

“Sudah tiba masanya kita memfokuskan industri pengeluaran makanan dengan memperluas kawasan pertanian yang bukan sahaja di luar bandar, malah di dalam bandar menerusi inisiatif agro usahawan serta pertanian bandar atau urban farming,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, kerenah birokrasi menjadi punca negara bergantung penuh kepada import makanan walaupun hakikatnya mempunyai dasar dan strategi pertanian yang baik.

Beliau menambah, kekangan modal turut menjadi masalah besar meskipun terdapat banyak rakyat berminat menceburi industri pertanian dan penternakan kerana kedua-dua bidang itu menelan kos tinggi selain tiada pihak yang mahu melabur.

“Misalnya lepasan graduan pertanian mahu menceburi pertanian moden, tetapi memerlukan kos tinggi. Yang menjadi masalah apabila proses permohonan pembiayaan memerlukan masa panjang, ini tidak kira lagi belum diluluskan.

“Selain itu, kesukaran mendapat tanah untuk menampung pertanian berskala besar. Akhirnya anak-anak muda yang berminat kecewa. Apabila tiada pemain memulakan kerja-kerja bercucuk tanam, maka industri ini tiada berkembang. Terpaksa kekal bergantung petani sedia ada dan apabila bekalan tidak cukup, kerja terpaksa import dari negara luar,” ujarnya.

Justeru, Mazlan menegaskan, perkara utama perlu diselesaikan adalah pemantauan dan implementasi terhadap dasar sedia ada agar pelaksanaan berjalan seperti dirancang supaya sektor makanan negara tidak terjejas sehingga bergantung bekalan negara luar.

“Apa guna dasar yang baik apabila banyak masa dan wang dicurahkan tapi hanya atas kertas. Namun akhirnya teori dan retorik kerana praktikal tidak menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu meningkatkan jumlah tenaga mahir tempatan memandangkan negara kekurangan buruh asing akibat kesan pandemik Covid-19 dengan mengembeling anak muda seperti mana profession lain.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN