PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyarankan kerajaan untuk meminta majikan berbincang dengan pekerja mereka mengenai isu pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengelak sebarang diskriminasi.
Setiausaha NUBE, J Solomon berkata, kenyataan dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengenai tindakan diambil oleh majikan dalam isu tersebut dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada pekerja.
“Kami berpendapat kenyataan dan ancaman bahawa tindakan akan diambil terhadap pekerja-pekerja yang tidak mengambil vaksin adalah tidak bertanggunjawab, tidak berasas dan bersifat diskriminasi.
“Kenyataan tidak cermat itu boleh menyebabkan diskriminasi yang tidak adil terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin, pemecatan yang tidak adil pekerja-pekerja yang tidak divaksin dan diskriminasi oleh majikan dalam proses pengambilan pekerja.
“Selain itu, kami bimbang kenyataan itu telah menimbulkan kegelisahan dan tekanan mental yang tidak wajar dalam kalangan pekerja yang telah mengalami tekanan yang teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 September lalu, Saravanan dilaporkan berkata, pekerja yang enggan menerima vaksin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 walaupun tiada akta khas berkaitan vaksinasi.
Menurut Saravanan, AKKP 1994 itu masih boleh dikuatkuasakan berikutan risiko kesihatan tempat kerja ada dalam kalangan pekerja yang tidak menerima vaksin.
Dalam pada itu, Solomon memberitahu, pihaknya berpandangan kerajaan sepatutnya mengadakan pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sebelum membuat sebarang tindakan atau kenyataan dalam isu terbabit.
“Kami pernah memanjangkan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai pelbagai masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank, tetapi beliau tidak memberi respon kepada kami berhubung isu-isu yang telah kami bangkitkan selama ini.
“NUBE berharap Kementerian Sumber Manusia akan menghormati semangat dialog sosial dengan semua pihak berkepentingan untuk berusaha mencapai perlindungan sosial menyeluruh bagi semua pekerja terlibat,” katanya. – UTUSAN











