Mukadimah:
Bergegar sebentar tanah air susulan pendedahan baru-baru ini berhubung tindakan pihak asing ‘memayungi’ ahli politik di negara ini.
Tindakan itu nyata menjejaskan asas sistem politik negara, apabila ia mempengaruhi keputusan sesuatu pilihan raya, seterusnya mendorong langkah-langkah seperti lompat parti dan sebagainya yang membawa kepada kejatuhan sesebuah kerajaan.
Soalnya, sejauh mana isu membabitkan dana politik serta lompat parti ini menjejaskan kestabilan politik dan keselamatan negara? Perlukah diperkasakan sebarang undang-undang bagi mengelakkan masalah itu melarat?
Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID. Ikuti wawancara bersama wartawan FAHMI FAIZ serta jurugambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.
Dalam wawancara ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut mengulas soal dendam politik yang mungkin akan timbul jika dibuat pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk Seri ada mengulas soal lompat parti. Sejauh mana kepentingan akta antilompat parti?
AZALINA: Penggubalan akta antilompat parti adalah penting untuk memelihara semangat demokrasi, dan akan memastikan mandat yang rakyat berikan kepada ahli Parlimen dihormati. Kita tidak mahu rakyat hilang kepercayaan dengan sistem demokrasi negara dan merasakan undi mereka adalah sia-sia sekiranya Ahli Parlimen boleh melompat parti ‘dengan kerusinya sekali’ sesuka hati mereka. Pada masa sama, akta ini juga dapat menghalang kemelut politik daripada berlaku supaya penekanan dapat diberikan untuk menjaga kepentingan rakyat.
Bukankah manusia ada hak memilih? Kalau dirasakan parti sudah celaru misalnya ‘kantoi’ terima sokongan asing, bukankah kalau berlandaskan prinsip hak asasi, mana-mana pemimpin wajar diberi ruang tukar parti?
Sudah tentu setiap manusia ada hak memilih. Oleh sebab inilah yang saya fikirkan akta antilompat parti tidak seharusnya mengambil pendekatan terlalu tegas, seperti di peringkat negeri dahulu apabila ahli Parlimen yang melompat atau dipecat parti akan terus dikosongkan kerusinya. Sebaiknya, akta antilompat parti harus dilengkapkan atau disokong oleh Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana, jika seseorang ahli Parlimen melompat atau dipecat oleh parti, hak untuk menentukan sama ada beliau berhak untuk mengekalkan kerusi dikembalikan kepada pengundi.
BAIK BURUK AKTA ANTILOMPAT
Bagaimana proses hendak kuatkuasakan undang-undang antilompat parti ini? Perlukah persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat?
Pindaan Fasal 10 Perlembagaan memerlukan persetujuan dua pertiga. Merujuk kepada Perkara 10(1)(C) Perlembagaan, ia memperuntukkan bahawa semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan. Perkara 10(2)(C) pula memperuntukkan seperti berikut:
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan –
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (C) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
Oleh itu, Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk menyekat tindakan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam melompat parti. Secara kesimpulannya, undang-undang antilompat parti sebenarnya tidak berbeza dengan undang-undang yang biasa diluluskan dalam Parlimen. Malah ia boleh diluluskan berdasarkan majoriti mudah sahaja.
Apa kesan baik bila akta antilompat ini dikuatkuasakan?
Ini akan menghalang Ahli Parlimen melompat parti tanpa persetujuan pengundi. Pada masa sama, jika seseorang Ahli Parlimen melompat parti atau dipecat parti kerana perbezaan pendapat politik, sebagai contoh membela nasib rakyat tetapi tidak dipersetujui oleh pimpinan parti, mereka kekal sebagai Ahli Parlimen selagi rakyat tidak membuat petisyen secara besar-besaran untuk menggugurkan mereka. Maka, ini boleh memastikan Ahli Parlimen itu bukan sahaja tidak boleh dijual beli, tetapi juga tidak membelakangi rakyat kerana parti. Rakyat yang sebenarnya diberi kuasa untuk menguasai wakil rakyat mereka.
Apa pula kesan buruk jika ia berkuat kuasa?
Secara jujurnya, saya tidak dapat membayangkan apa kesan buruk yang akan berlaku sekiranya suatu undang-undang antilompat parti diluluskan. Yang rugi cumalah Ahli Parlimen yang tidak boleh menggadaikan mandat rakyat untuk kekayaan dan kuasa untuk sendiri.
IBARAT LEMBU DICUCUK HIDUNG
Komen tentang keperluan akta dana politik bersabit pendedahan baru-baru ini tentang sokongan dan bantuan pihak asing?
Wakil rakyat memerlukan mekanisme yang lebih telus untuk mengumpul dan membelanjakan dana dan juga untuk mengelakkan kebergantungan parti dan ahli politik kepada dana swasta, sehinggakan Ahli Parlimen seperti lembu dicucuk hidung oleh penderma. Ini bukan untuk mengayakan parti atau individu, tetapi untuk memastikan parti tidak terhutang budi untuk mendapatkan dana bagi pembiayaan kos jentera dan tenaga kerja dalam pilihan raya dan perjalanan kerja parti. Yang penting, dimaklumkan pada umum siapa pendermanya dan isu rasuah tersirat atau tersurat tidak dikaitkan dengan orang politik .
PERIKATAN NASIONAL 2.0?
Komen tentang Kabinet baharu yang dibentuk?
Seperti mana diperkatakan rakyat dalam media sosial dan yang kita boleh lihat sendiri, ramai ahli Kabinet yang dipilih oleh Perdana Menteri (PM) adalah mereka yang dari Kabinet lama. Walaupun ramai yang mengutarakan kerisauan mereka mengenai pelantikan Kabinet baharu ini, kita berilah mereka 100 hari untuk buktikan diri mereka seperti mana yang diperkatakan PM. Kalau gagal buktikan diri mereka dan gagal mencapai hasrat PM dan rakyat, jadi mereka perlu mengambil tanggungjawab sewajarnya. Saya yakin PM akan membuat penilaian teliti dan keputusan tegas dalam hal ini bagi memastikan pencapaian barisan ahli Kabinet beliau berada dalam keadaan terbaik.
Ada mendakwa, kerajaan sekarang hanya bertukar PM tapi kekalkan menteri-menteri terdahulu, ibarat Perikatan Nasional (PN) 2.0. Komen Datuk Seri?
Ini satu perkara sukar untuk dielakkan kerana komposisi parti menyokong PM adalah komposisi yang sama sewaktu Tan Sri Muhyiddin menjadi PM. Saya juga memahami mungkin antara justifikasi PM yang mengekalkan sebahagian besar menteri-menteri dan portfolio yang disandang adalah untuk memberi kesinambungan atas usaha-usaha dan inisiatif sebelum ini. Biarlah masa menentukan, yang penting pada saya agar kebajikan rakyat terbela dan negara dapat dipulihkan dan dibawa keluar daripada lembah pandemik global Covid-19.
POLITIK RENTAS PARTI
Pandangan Datuk Seri selaku pengamal undang-undang yang juga ahli politik, sejauh mana kewajaran sistem politik rentas parti di Malaysia?
Ia bergantung kepada isu. Ada sesetengah isu yang mana kita perlu pendekatan ‘multi-partisan’ (politik rentas parti), dan ada isu yang lebih baik untuk dibahaskan oleh parti-parti yang berlainan ideologi. Contohnya, apabila bercakap tentang isu undi 18 tahun, semua Ahli Parlimen tidak mengira parti perlu menyokong idea ini kerana ia akan memperkasakan anak-anak muda kita dengan memberikan mereka peluang untuk membentuk masa hadapan negara dengan mengundi bakal pemimpin negara yang seterusnya.
Semasa saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak lama dahulu, konsep rentas parti ini berjaya dibuktikan. Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang saya bentangkan di Dewan Rakyat berjaya memperoleh sokongan kedua-dua pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimana parti berlainan ideologi, iaitu haluan kanan dengan pembangkang liberal-demokratik dapat bekerjasama? Adakah parti kanan perlu ke tengah dan kendurkan prinsip sama keadaanya dengan parti haluan kiri, seperti berlaku di banyak negara Barat?
Sebab utama kepada persaingan politik sebenarnya bukan perbezaan ideologi tetapi sikap memusuhi orang yang berlainan ideologi. Sebenarnya, kepelbagaian ideologi boleh diraikan asalkan kita mengamal semangat musyawarah dan berpolitik secara profesional. Parti berlainan ideologi, iaitu konservatif haluan kanan dengan liberal-demokratik, dapat bekerjasama melalui beberapa isu yang menjadi masalah umum, dan mereka perlulah bersikap pragmatik dalam mencari jalan penyelesaian.
Selain itu, pemimpin dan parti perlu menerima realiti dan pandang ke hadapan supaya menjadi titik tolak kepada penyatuan ideologi yang berlainan demi kepentingan rakyat. Kebersamaan juga boleh dicapai apabila kedua–dua parti dapat mengurangkan ketegangan dan haluan sesama mereka, lantas memberi fokus terhadap kebajikan rakyat terutama dalam menangani isu sewaktu pandemik Covid-19 ini.
SOKONGAN ‘CUKUP-CUKUP MAKAN’
Sebagai ahli politik berpengalaman, apa pandangan Datuk Seri tentang kestabilan politik akan datang, memandangkan sekarang kelihatannya sukar untuk mana-mana parti jadi dominan dalam Parlimen, dengan hanya kerusi cukup-cukup makan?
Kita boleh lihat sendiri bahawa kerajaan minoriti atau kerajaan yang tidak mempunyai majoriti yang kuat ini akan sentiasa dipersoalkan sama ada mereka ini mempunyai sokongan yang cukup atau tidak untuk mejadi kerajaan. Situasi ini akan mengganggu fokus kerajaan. Mereka lebih fokus untuk berpolitik supaya memastikan mereka mempunyai sokongan yang cukup, daripada membuat kerja yang sepatutnya mereka buat, iaitu mentadbir negara dengan baik. Jadi, pendapat saya selagi kerajaan adalah kerajaan minoriti, kestabilan politik akan sentiasa menjadi satu tanda tanya. Tetapi, kalau sesuatu kerajaan itu mempunyai majoriti besar, misalnya dua pertiga majoriti pun akan timbulkan masalah juga, kerana sukar untuk pihak pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang pentadbiran kerajaan di Parlimen. Jadi, kedua-dua bentuk kerajaan ini ada baik dan buruknya.
Maksudnya pada masa hadapan, tidak akan ada lagi blok politik yang dominan?
Kita harus terima norma baharu bahawa Parlimen tidak akan ada parti yang dominan seperti sebelum 2018. Ini kerana parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak lagi terikat rapat kepada gabungan-gabungan nasional manakala pertandingan beberapa penjuru memustahilkan kewujudan pemenang yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi daripada jumlah 165 kerusi dipertandingkan di Semenanjung. Maka, apa yang kita perlukan ialah membawa amalan persaingan profesional yang boleh menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan dan pembangkang perlu menunjukkan semangat rentas parti. Akta Pemecatan Ahli Parlimen untuk mencegah lompatan parti dan reformasi pendanaan politik adalah penting. Kita harus menjadikan Parlimen sebagai arena musyawarah dan bukan medan hasutan dan tohmahan. Adalah penting Yang di-Pertua Dewan Rakyat datang dalam kalangan Ahli parlimen, dipilih merentasi garisan parti dan bersikap berkecuali semasa menjalankan tugas. Not only fair but seen to be fair.
MASA DEPAN UMNO
Di pihak UMNO, ada peluangkah untuk parti kembali dominan sebagai kerajaan, atau perlu berada dalam gagasan UMNO-Pas (Muafakat Nasional) dan UMNO-Pas-Bersatu (Perikatan Nasional)?
Sama ada UMNO akan kembali untuk menerajui kepimpinan negara, itu bergantung kepada kepercayaan rakyat kepada parti. Tidak dinafikan bahawa keputusan PRU14 menunjukkan dengan jelas bahawa kepercayaan rakyat terhadap UMNO berkurangan, tetapi selepas PRU14 hampir semua pilihan raya kecil UMNO-BN berjaya. Jadi, ia menjadi tanggungjawab bersama kesemua ahli UMNO untuk terus mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan memperjuangkan kepentingan rakyat dan mengetepikan permainan politik serta perebutan kuasa, terutamanya sewaktu rakyat sedang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.
Presiden ada sebut ‘Kerajaan PN’ sudah tiada, yang ada cuma ‘Kerajaan Malaysia’. Adakah bermaksud UMNO akan tolak Bersatu pada PRU akan datang? Dan apa kesan terhadap undi orang Melayu serta pertembungan tiga penjuru jika keputusan tolak Bersatu itu ditekadkan?
Cara ikhlas, Presiden UMNO yang perlu jadi penentu kepada hala tuju dan masa depan UMNO untuk berhadapan dengan PRU-15. Siapapun Presiden masa PRU-15 perlu menjadi posterboy UMNO-BN. Sudah tentu pemilihan UMNO wajar berlaku sebelum PRU-15 untuk menetapkan dan merapatkan saf UMNO. Tetapi kesan negatif pula akan terjadi jika pemilihan berlaku sebelum PRU-15, individu yang kalah akan berdendam. Kemungkinan kerana banyak parti Melayu ada sekarang, maka yang kalah mungkin akan lari ke parti alternatif perjuangan mereka. Wallahualam.
Adakah Akta Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang dinyatakan oleh Datuk Seri adalah akta lompat parti?
Sebenarnya ada perbezaan. Adalah lebih efektif jika kerajaan sertakan Akta Pemecatan Ahli Parlimen apabila menggubal Akta Anti Lompat Parti. Secara dasarnya, kedua-dua akta ini menyentuh tentang isu lompat parti dan memperkenalkan mekanisme untuk menghalang kes-kes lompat parti daripada berlaku. Tetapi kedua-dua akta ini berbeza dari segi operasional serta prosedur. Jadual berikut memberi penjelasan ringkas perbezaan antara kedua-dua akta ini. – Mingguan Malaysia










