BARU-baru ini, semakin banyak gig maya dianjurkan. Ia sedikit-sebanyak mengembalikan kemeriahan lapangan muzik independen apabila peminat masih boleh melayan persembahan artis kegemaran mereka, walaupun hanya di skrin. Lebih penting lagi, kita masih boleh meneroka bakat yang ada dalam lapangan.
Jika diteliti, penganjuran gig maya mendapat sambutan. Rata-rata video gig Indie Dari Rumah anjuran Atas Angin mendapat tontonan lebih seribu, malah ada yang mencapai sehingga empat ribu tontonan. Pilih Kaseh yang dianjurkan baru-baru ini juga mendapat lebih dua ribu tontonan dalam masa beberapa hari.
Gig maya menangani beberapa masalah yang dihadapi gig fizikal sebelum ini, terutamanya soal mobiliti dan batas ruang acara. Ia boleh ditonton seberapa ramai yang mungkin manusia dari mana-mana lokasi.
Percuma vs berbayar
Untuk Indie Dari Rumah dan Pilih Kaseh, kedua-dua gig maya ini percuma. Tidak perlu bayar apa-apa, tonton sahaja di Youtube. Keuntungan penganjur diperoleh daripada bayaran mengikut tontonan oleh Youtube atau beberapa saluran lain.
Pastilah bagus kerana situasinya menang-menang. Peminat boleh tonton dengan percuma dan penganjur masih dapat menjana sedikit keuntungan. Ia nampak begitu sehinggalah kita memasukkan soal pasaran dalam perkiraan ini.
Gig percuma seperti ini memperkenalkan sedikit gangguan (disruption) kepada pasaran. Kesannya tidak begitu jelas jika penganjuran gig percuma belum kerap.
Setakat satu atau dua kali dalam enam bulan, contohnya, tiada masalah. Tapi bayangkan kalau setiap bulan ada satu atau lebih gig maya percuma dianjurkan.
Apa yang mungkin terjadi, gig maya akan kehilangan nilai. Tambahan pula jika artis yang dijemput itu ada nama yang besar dan mendapat permintaan tinggi.
Ini akan menyukarkan penganjur lain yang terpaksa bikin gig maya berbayar. Kenapa terpaksa? Mungkin kerana platform yang mereka gunakan belum dapat menjana wang, seperti saluran Youtube yang belum cukup syarat pengewangan atau platform baharu yang masih bertatih. Maka, untuk bayar artis dan kru, acara itu perlu bertiket.
Dalam situasi ini, permintaan terhadap acara itu mungkin berkurang kerana peminat boleh tonton persembahan lain secara percuma. Ini yang saya maksudkan nilainya hilang atau terhakis.
Belajar daripada sejarah
Di lapangan arus perdana, masalah seperti ini sudah muncul lama. Secara spesifiknya, apabila stesen televisyen mula bikin temasya besar-besaran secara percuma. Sumber kewangan utama temasya itu ialah sewaan tapak perniagaan yang mampu menampung kos konsert yang diadakan pada sebelah malam. Maka, konsert dianjurkan secara percuma.
Disebabkan banyaknya konsert percuma seperti ini, konsert berbayar semakin tidak relevan melainkan jika melibatkan artis legenda yang sukar muncul dalam konsert percuma sebegitu. Konsert juga sudah tidak menjadi keutamaan untuk artis-artis baharu yang lebih selesa melahirkan single demi single sepanjang karier mereka. Buat apa nak ada album, bukannya mereka perlu buat konsert dan menyanyi sehingga 30 lagu.
Pada 2019, konsert yang menampilkan trio Wany Hasrita, Khai Bahar dan Sufian Suhaimi terpaksa dibatalkan atas masalah penajaan dan jualan tiket. Konsert itu yang sepatutnya dilangsungkan di empat lokasi bertukar menjadi satu lokasi, kemudian dibatalkan terus. Seperti dipetik media, pengarah konsert itu menggariskan masalah penjualan tiket sebagai salah satu punca pembatalan.
Katanya, peminat tiga artis itu sudah biasa menonton konsert percuma, jadi sukar untuk pihaknya menjual tiket.
Jaminan kualiti
Ada juga baiknya gig maya percuma, saya perlu adil. DIsebabkan gig maya percuma, penganjur gig maya berbayar perlu tingkatkan kualiti supaya tawaran mereka berbaloi dengan harga yang dibayar peminat. Pernah juga kita dengar keluhan peminat yang keluar duit untuk tonton gig maya, tapi pengalamannya tak setimpal.
Namun, yang perlu diteliti ialah situasi keseluruhan lapangan muzik independen. Sudahkah kita bersedia dengan penyerahan total urusan penawaran-permintaan gig kepada sistem pasaran kapitalistik sebegini?
Maksud saya, jika persaingan sebelum ini melibatkan murah-mahal harga tiket, bersediakah kita untuk memperkenalkan persaingan baharu iaitu percuma-berbayar dalam pasaran gig?
Tidak menjadi masalah sebenarnya jika kita anggap gig maya ini hanya sementara (dengan anggapan gig fizikal semuanya berbayar) tetapi jika gig maya sudah diterima sebagai resam baharu selepas ini, kita perlu berwaspada. Dalam hal-hal disruptif sebegini, kita hanya ada dua pilihan: berusaha mengelakkannya atau bersedia menghadapi perubahan yang dibawanya.
-habis-











