Premium Kasar, Sumbangan Takaful meningkat 34.9% - Utusan Malaysia

Premium Kasar, Sumbangan Takaful meningkat 34.9%

ZAHARUDIN DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad mencatatkan pe­ningkatan Premium Kasar dan Sumbangan Takaful sebanyak 34.9 peratus untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2021, kepada RM675.4 juta berbanding RM500.8 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan itu merosot 8.3 peratus kepada RM46.6 juta daripada RM50.8 juta yang dicatatkan suku sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Zaharudin Daud berkata, impak pandemik Covid-19 dan kemunculan varian membimbangkan (VOC) baharu akan terus memberi cabaran kepada persekitaran ekonomi syarikat itu.

Namun, kata beliau, anak-anak syarikatnya terus cekal dan memberi tumpuan kepada ketahanan operasi dan ia telah menyumbang kepada peningkatan Premium Kasar dan Sumbangan Takaful mereka.

Anak syarikat insurans semula MNRB, Malaysia Reinsurance Berhad (Malaysia Re) mencatatkan peningkatan premium kasar sebanyak 30.1 peratus kepada RM421 juta berbanding RM323.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut MNRB, peningkatan itu dipacu pertumbuhan perniagaan segmen luar negara namun keuntungan bersihnya menurun 32.4 peratus kepada RM23.8 juta berbanding RM35.2 juta pada suku pertama tahun lalu di­sebabkan pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah serta pasaran ekuiti yang lemah.

Zaharudin berkata, premium suku tahun pertama yang dicatatkan Malaysian Re merupakan yang tertinggi dan ia mempamerkan pertumbuhan yang kukuh buat syarikat itu.

“Dalam mengorak langkah lebih jauh pada tahun kewangan 2022 ini, kami akan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara.

“Ini didorong oleh pembukaan semula perniagaan negara luar berikutan perkembangan positif mereka dalam membendung wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sumbangan daripada Taka­ful Ikhlas General Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad turut meningkat masing-masing pada 23 peratus dan 58.6 peratus.

Menurut Zaharudin, perniagaan takaful MNRB kekal berdaya tahan dan pihaknya telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelancaran kempen dan produk bahari seperti Cancer Rider.

Jelas beliau, pihaknya berharap Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kadar vaksinasi negara yang tinggi dapat memacu pemulihan negara walaupun diancam risiko kemunculan varian Delta.

“Dengan perkembangan ini, kumpulan MNRB yakin untuk terus mengukuhkan perniagaan dan bersedia dengan pemulihan ekonomi yang dijangka dapat memastikan kumpulan MNRB muncul lebih kukuh pada tahun kewangan 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×