PETALING JAYA: Pelaksanaan undang-undang khusus untuk mewajibkan semua rakyat negara ini mengambil vaksin Covid-19 adalah mustahil.
Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, ini kerana langkah tersebut melanggar hak asasi manusia yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, menurut beliau, langkah meluaskan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima lengkap dua dos vaksin dilihat cukup untuk ‘memerangi’ golongan antivaksin.
“Peruntukan undang-undang untuk mewajibkan masyarakat mengambil vaksin Covid-19 adalah melanggar hak asasi manusia.
“Adalah lebih baik pendidikan diterapkan secara berterusan dalam kalangan rakyat bagi mewujudkan kesedaran. Malah dengan memberi kelonggaran kepada penerima dua dos untuk aktiviti fizikal dan sosial sudah cukup untuk dijadikan sebagai mekanisme mewajibkan orang ramai mengambil vaksin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengambilan vaksin Covid-19 mungkin diwajibkan jika masih ramai yang enggan menerimanya.
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan hanya perlu gunakan undang-undang sedia ada untuk memerangi maklumat tidak benar disebarkan golongan antivaksin.
“Undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 dan akta yang boleh digunakan untuk mengekang penularan berita palsu.
“Selain itu, langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada penerima dua dos sudah cukup untuk menggalakkan orang ramai mengambil vaksin,” ujarnya. – UTUSAN











