PETALING JAYA: Jangkitan Covid-19 yang menjangkau 20,000 kes sehari boleh mendedahkan lebih lima juta murid dan pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kepada risiko penularan virus Covid-19 susulan sesi pembukaan sekolah bermula 3 Oktober ini.
Meskipun sesi pembukaan sekolah dibuat mengikut negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), timbul kebimbangan ekoran penularan jangkitan virus Covid-19 apabila negeri-negeri itu mencatatkan pertambahan kes sebanyak empat angka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula keputusan tersebut dengan hanya memfokuskan pelajar bakal menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Katanya, pelajar dan murid lain pula perlu menjalani kaedah secara Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sehingga sesi persekolahan tamat yang berbaki tiga bulan lagi.
Beliau menjelaskan, langkah itu bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan murid dan pelajar yang belum menerima vaksin sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19 apatah lagi dengan kemunculan varian baharu yang mudah merebak dalam tempoh singkat.
“Selain itu, perlu ambil kira jika berlakunya kes Covid-19 di sekolah, maka lokasi itu terpaksa ditutup untuk beberapa hari dan akhirnya sesi pembelajaran pelajar pun turut terjejas. Jadi adalah lebih baik diteruskan proses PdPR sehingga jumlah kes turun pada angka yang munasabah.
“Walaupun ada ibu bapa bimbang dengan pencapaian akademik anak-anak, tetapi ada juga bimbang dengan keselamatan mereka dan tidak tolak kemungkinan tidak menghantar anak ke sekolah. Jadi keciciran terus berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sekolah dianjakkan ke 3 Oktober ini berbanding perancangan asal pada 1 September ini selepas mengambil kira keadaan pandemik semasa dengan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, sekolah-sekolah di bawah negeri-negeri Fasa 1 PPN tidak akan dibuka berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) manakala negeri-negeri Fasa 2 boleh membuka sesi persekolahan, cuma bagi kelas peperiksaan sahaja iaitu Tingkatan 5 dan 6 manakala negeri Fasa 3 melibatkan semua murid-murid lain.
Dalam pada itu, Anuar memberitahu, sesi pembukaan sekolah perlu diutamakan kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan untuk negeri Fasa 2 dan 3 sahaja memandangkan jumlah mereka tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan pembukaan sekolah secara menyeluruh.
“Calon-calon SPM atau STPM paling ramai pun mungkin dalam 100 orang, mereka boleh dikawal dengan SOP ketat termasuk melakukan penjarakan fizikal di dalam bilik darjah.
“Namun paling penting pematuhan SOP yang bukan sahaja ketika di sekolah tetapi di rumah dengan ibu bapa perlu memainkan peranan dalam soal ini dengan pergerakan perlu dibataskan dari kediaman ke sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










