Banyak perubahan berlaku dalam kehidupan masyarakat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan bermula 18 Mac tahun lalu.
Ia memberi kesan psikologi kepada masyarakat serta seseorang yang mungkin terperangkap dalam masalah yang tidak diundang.
PKP 1.0 juga membawa episod duka kepada Ana (bukan nama sebenar).
“Memandang wajah Afiq (bukan nama sebenar) membuatkan saya benar-benar rasa bersalah kepada suami sehingga ke saat ini,” ujar Ana yang juga ibu kepada Rania dan Zack (bukan nama sebenar) masing-masing berusia tujuh dan lima tahun pada pertemuan dengan saya baru-baru ini.
Menceritakan episod hitam dalam hidupnya, Ana berkata, segalanya bermula selepas abang iparnya, Khair (bukan nama sebenar) datang dari kampung menumpang di rumah mereka di Setapak, Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan seminggu sebelum PKP diumumkan.
Disebabkan PKP, Khair terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mencari pekerjaan.
Kisah Ana bermula pada satu malam semasa suami Ana ke luar daerah di Alor Setar selama seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Pekerjaan suami Ana sebagai kontraktor memerlukannya ke luar daerah seminggu sekali dan dia sudah biasa ditinggalkan sendirian bersama anak-anak.
Berbeza kali ini, kehadiran Khair membuatkan Ana benar-benar tidak selesa lebih-lebih dengan layanan yang ditunjukkan abang iparnya itu semasa ketiadaan suaminya di rumah.
“Khair sangat berbeza dengan Sham yang memiliki keperibadian yang agak tegas berbeza dengan Khair agak lemah lembut.
“Malam itu Khair mendatangi dan meluahkan telah jatuh cinta kepada saya.
“Entah apa yang merasuk, saya akhirnya tewas dengan pujukan Khair pada malam itu,” ceritanya.
Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali mereka melakukan perbuatan terkutuk itu. Apabila Sham pulang ke rumah, Ana dan Khair meneruskan kehidupan harian seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Sehinggalah pada satu hari, Ana berasa tidak selesa dan meminta suami menghantar ke klinik berhampiran untuk melakukan pemeriksaan.
Disebabkan Sham ketika itu ada urusan penting tidak dapat dielakkan, Khair terpaksa mengambil alih tugas untuk menghantar Ana ke klinik.
Selepas melakukan pemeriksaan, Ana disahkan mengandung dua minggu. Ketika doktor memaklumkan perkara itu, Khair dilihat langsung tidak menunjukkan riak wajah bersalah sebaliknya tersenyum puas.
Semasa ketiadaan suaminya, Khairlah yang banyak membantu Ana dan anak-anak lebih-lebih lagi sepanjang tempoh berbadan dua, Ana mengalami alahan teruk.
Kepercayaan Sham kepada abang kandungnya tanpa sebarang prasangka juga memberi ruang kepada Ana dan Khair terus melakukan dosa.
Ana mengakui, keinginan untuk bersama Sham tidak lagi seperti sebelum bertemu Khair. Namun Sham seolah-olah memahami keadaan itu disebabkan pembawaan bayi yang dikandung.
Afiq dilahirkan pada awal Mac lalu. Dua hari selepas kelahiran Afiq, Khair memutuskan pulang ke kampung semula atas alasan sukar mendapat pekerjaan sesuai.
Perasaan Ana
Hanya Allah yang tahu perasaan Ana ketika itu dan itulah kali terakhir Ana bertemu dengan Khair.
Kini usia Afiq memasuki tiga bulan. Sepanjang tempoh itu Khair langsung tidak menghubungi Ana bertanya khabar.
“Jujur saya merindui Khair namun jauh disudut hati berharap lelaki itu tidak lagi kembali dalam hidup. Mujurlah tahun ini saya sekeluarga tidak pulang beraya di kampung disebabkan PKP.
“Bimbang juga sekiranya bertemu dengan Khair. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengannya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Demikian secebis kisah kehidupan dalam masyarakat di sekeliling kita. Sikap mengambil mudah dan terlalu percaya terkadang boleh mengundang padah.
Kepercayaan suami Ana terhadap abang kandung sendiri akhirnya menatijahkan sesuatu yang amat buruk. Di sisi lain kegagalan Ana mempertahankan kepercayaan suami terhadap dirinya juga menggambarkan betapa harga sebuah kepercayaan yang diberi adalah terlalu mahal.
Sekali ia dikhianati akan mengundang ‘bencana’ dahsyat yang mungkin akan menghadirkan kesal sepanjang hayat.
Sesungguhnya menjaga kepercayaan adalah sesuatu yang luar biasa beratnya. Sebaliknya mengkhianati sebuah kepercayaan itu amat luar biasa keburukannya.










