RESIPI keluarga turun-temurun biasanya tidak pernah mengecewakan kerana dimasak penuh rasa dan kasih sayang. Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor iaitu Rohaida Mat Idris, 46, berkongsikan resipi laksam yang merupakan resipi tradisi keluarga yang dipelajari daripada ibunya.
Laksam yang terkenal di Kelantan dan Terengganu ini diperbuat daripada tepung beras, dimakan bersama kuah santan yang dimasak bersama isi ikan (dikisar).
Rohaida menggunakan santan asli perahan daripada dua biji kelapa untuk memberi rasa yang seimbang lemak dan rasa ikan.
Laksam lebih sedap dimakan bersama sambal ‘jantan’ iaitu sambal original Kelantan yang menjadi penyedap nasi berlauk dan ulam-ulaman segar.
Tidak lokek berkongsi rahsia kesedapan laksam, Rohaida memberitahu, laksam original homemade boleh tahan daripada basi selama dua hari kerana dimasak tanpa menggunakan pewarna, bahan pengawet atau perasa tambahan malah rasanya lembut apabila dimakan dan ternyata lebih sedap.
Bahan-bahan laksam:
500 gram tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
7 cawan air
1/2 sudu kecil garam
Campurkan semua bahan ke dalam satu bekas dan kacau sehingga tidak berketul.
Cara penyediaan laksam:
1. Sediakan pengukus.
2. Sapukan minyak masak atas tudung periuk atau dulang.
3. Kemudian letakkan adunan laksam paras lindung bekas dan tidak terlalu tebal untuk memudahkan laksam masak.
4. Kukus sehingga timbul gelembung menunjukkan laksam sudah masak.
5. Angkat dan sandarkan supaya kesan titisan air turun.
6. Gulung dan boleh digunting.
Bahan-bahan isi ikan:
500 gram ikan sardin atau kembung
Dua keping asam gelugur (asam keping)
Sedikit garam
Sedikit air
Cara penyediaan isi ikan:
1. Rebuskan ikan bersama asam keping, sedikit garam dan sedikit air.
2. Asingkan isi ikan dengan tulang.
3. Kemudian kisarkan isi ikan.
Bahan-bahan kuah laksam:
1/2 inci halia
2 biji bawang merah (saiz sederhana)
2 biji bawang putih
1/2 sudu kecil lada hitam ditumbuk sehingga lumat
1 kilogram santan segar atau satu kotak santan (500ml)
Cara penyediaan kuah laksam:
1. Kisarkan halia, bawang merah dan putih
2. Campurkan semua bahan kisar, lada hitam dan santan. Masukkan ke dalam periuk. Kacau sehingga menggelegak.
3. Tutup api dan teruskan kacau sehingga separuh sejuk untuk mengelakkan berketul-ketul.
Bahan-bahan sambal jantan:
100 gram cili api atau cili burung
3 sudu besar cuka
3 sudu besar gula
3 sudu garam
Sedikit air untuk kisar cili
Kisarkan semua bahan dan perasakan secukup rasa.
Bahan-bahan ulam-ulaman:
Daun serai kayu
Daun kesum
Kacang panjang
Bunga kantan
Kubis
Tauge
1. Hiriskan semua bahan secara nipis. Kuantiti ulam mengikut citarasa masing-masing dan boleh menggunakan apa sahaja jenis ulaman yang sesuai.
Nota: Juga boleh dimakan bersama belacan bagi penggemarnya.
Laksam siap untuk dihidang. Hidangan laksam dijamu bersama kuah pekat santan ikan, sambal dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!










