PETALING JAYA: MMC Corporation Berhad merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM494 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021, lebih tinggi berbanding RM243 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut kumpulan syarikat utiliti dan infrastruktur itu, peningkatan itu berikutan jumlah kendalian yang lebih tinggi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Northport (Malaysia) Berhad, hasil subpajakan tanah di PTP dan kos kewangan yang lebih rendah.
Namun, katanya, peningkatan itu diimbangi kemajuan kerja yang lebih rendah di Transit Aliran Massa Lembah Kelang (KVMRT) Aliran Putrajaya dan projek Pembentungan Langat memandangkan kedua-dua projek itu semakin hampir selesai.
Begitu juga, pihaknya menerima untung yang kurang disebabkan jumlah penumpang yang lebih rendah di Senai Airport Terminal Sdn. Bhd. disebabkan pandemik Covid-19 dan tiada jualan tanah di Bandar Lapangan Terbang Senai (SAC).
“Untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, Kumpulan mencatatkan hasil RM2.29 bilion berbanding RM2.08 bilion yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan jumlah kendalian lebih tinggi di PTP dan Northport,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MMC, bahagian pelabuhan dan logistik mencatatkan hasil sebanyak RM1.82 bilion berbanding RM1.53 bilion pada tahun lalu.
Sejajar dengan itu, bahagian tersebut mencatatkan PBZT sebanyak RM465 juta berbanding RM219 juta tahun lalu.
“Bahagian kejuruteraan mencatatkan hasil RM448 juta berbanding RM506 juta tahun lalu sebahagian besarnya disebabkan kemajuan kerja lebih rendah dari KVMRT Aliran Putrajaya dan Pembentungan Langat.
“Bahagian itu mencatatkan PBZT RM99 juta berbanding RM121 juta tahun lalu,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, dengan langkah pencegahan yang lebih baik dan tepat bersama liputan lebih meluas dalam vaksinasi, pihaknya melihat pemulihan ekonomi adalah mampan.
“Kami komited untuk memperkukuh kedudukan kewangan dan pasaran dengan memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengoptimuman kos, sementara meneroka peluang perniagaan baharu.
“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan untuk mengekalkan prestasi kewangan dan operasi untuk 2021 serta kekal berdaya tahan sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN










