YAN: Ramai penduduk di beberapa buah kampung di kaki Gunung Jerai di sini masih truma selepas ditimpa tragedi kepala air Rabu lalu.
Kejadian ‘tsunami Jerai’ pada pukul 3.30 petang itu mengakibatkan lima orang maut dan seorang lagi masih hilang.
Walaupun tragedi itu telah memasuki hari keenam semalam, namun masih ramai belum dapat melupakan terutamanya hujan lebat kerana takut kejadian sama berlaku lagi.
Rohani Din, 61, dari Kampung Jawa berkata, dia gelisah dan ketakutan setiap kali hujan lebat dan mendengar deruman air sungai berdekatan rumahnya.
“Tragedi kepala air adalah yang terburuk seolah-olah tsunami yang dilalui dalam hidupnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Zaiton Abdulah, 67, dari Kampung Seberang, pekan Yan pula berkata, dia mengalami trauma apabila nyaris dihanyutkan arus deras sebelum sempat berpaut pada pintu jeriji rumahnya.
Menurut Zaiton, rumahnya berhampiran Sungai Titi Hayun menyebabkan air dari Gunung Jerai sangat deras membawa bersama lumpur.
“Waktu itu paras air di dalam rumah saya kira-kira satu meter dan air berpusar.
“Saya tidak dapat tidur lena selepas kejadian itu kerana bimbang tragedi buruk itu berulang,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Kampung Tok Keramat, Rashid Man, 51, berkata, dia berharap tragedi kepala air yang menakutkan penduduk itu tidak berlaku.
Menurutnya, kerana terlalu takut ada yang ingin berpindah disebabkan berasa tidak selamat. – UTUSAN











