Kehadiran wabak Covid-19 mengubah segalanya. Jika sebelum ini semuanya dilakukan secara bersemuka, kini tidak lagi.
Demi mengelak penularan penyakit berbahaya itu, prosedur operasi standard perlu dipatuhi dan segala hal aktiviti boleh dikatakan, dibuat secara maya.
Mengikuti perkembangan penyanyi yang mendapat julukan Queen of Soul, Azharina Azhar, dia amat positif dengan cabaran getir ketika pandemik ini.
Katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, bukan dia sahaja, malah semua orang perlu mengikuti perkembangan semasa.
“Tahun kedua kita hidup dengan Covid-19, saya tidak menafikan segala hal baharu saya berusaha sedaya upaya untuk belajar. Maklum sajalah, virtual sudah sebati dengan kita, kebanyakan aktiviti dibuat secara maya.
“Setakat ini Alhamdulillah, bisnes saya, Azharina Entertainment berjalan seperti biasa. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, aktiviti berlangsung secara atas talian.
“Baru ini saya sudah habis dengan program hiburan dari rumah saja. Kebanyakannya persembahan maya tertumpu dalam sektor komunikasi korporat,” kongsinya bersyukur.
Selain hiburan, Azharina juga mempunyai bisnes dalam bidang harta benda dengan menyewakan premis. Baginya, sektor tersebut antara yang tidak terkesan.
“Apa pun yang berlaku, rakyat perlu duduk di rumah ketika ini. Jadi mereka akan tetap menyewa. Kadarnya berpatutan mengikut kemampuan.
“Rumah sewa di area Puchong, saya beli sejak berusia 18 tahun lagi. Itu pun hasil titik peluh lagu pertama Seandainya. Saya pun ada pekerja khusus untuk menyelenggara rumah, senang tidak perlu bersusah-susah cari lain.
“Alhamdulillah, hubungan dengan penyewa pun tiada masalah. Menariknya, kebanyakan mereka sudah pun berumah tangga dan tetap setia tinggal di rumah itu,” ujarnya.
Tambah Azharina yang lebih mesra disapa Nina, dia ada merancang untuk membeli satu lagi premis di sekitar kawasan Bandar Puteri pada April tahun lalu. Namun disebabkan pandemik, perancangan itu terbantut.
Guru separuh masa
Berbicara mengenai tanggungjawab sebagai ibu. Nina sama seperti ibu bapa lain, ibarat berjuang di medan perang kerana dia perlu memantau dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).
Menurut Penyanyi lagu Teman Yang Ku Kasih, King Rahmat, anak sulungnya kini sudah menjangkau usia tujuh tahun. Lebih mencabar bagi Nina kerana putera kesayangannya itu mempunyai disleksia, gangguan pada kemampuan belajar dan bukan saja membaca.
“Apa saja yang kita nak jangkakan daripada pelajar darjah satu? Dia (Rahmat) pula tahun lalu masa tadika tidak begitu mempunyai pendidikan yang formal.
“Saya tidak menafikan bahawa konsep PdPR ini sangat-sangatlah menguji kemampuan dan kesabaran saya. Adakalanya, saya sampai menangis dan terpaksa hubungi pihak sekolah dan gurunya. Mana tidaknya, budak ada disleksia.
“Pada masa sama saya juga konsisten dengan mengajarnya fasal mengenal abjad dan angka termasuklah membaca serta mengira,” luahnya jujur tertekan.
Sebagai langkah untuk Rahmat cepat belajar, Nina sudah mengambil pendekatan bertegas dan berlembut. Satu mata pelajaran untuk satu hari, dari siang ke malam.
“Tapi dia budak… ada satu tahap mereka juga akan berasa tertekan. Pula saya sebagai ibu bapa yang ajar, dia seolah-olah manja lagi adalah.
“Jadi kalau boleh saya mohon kiranya ada guru tutor di luar sana yang sudi mengajar anak saya sila hubungi ya,” tuturnya.
Sesal separuh nyawa
Ibarat nasi sudah menjadi bubur, begitulah hidup penyanyi ini. Tidak sahaja periang, malah hatinya juga mudah tersentuh.
“Berat soalan ini… (sambil menghela nafas panjang),”. Itulah reaksi tika ditanya tentang sesalan dalam kehidupan sang penghibur yang senantiasa ceria ini.
Dia akui, di dalam kehidupannya ada peristiwa pahit yang terpaksa ditelan. Sama seperti orang lain, ada penyesalan dalam kamus kehidupan.
Terus menyelami isi hati penyanyi Elegi Sepi ini. Rupa-rupanya ada konflik yang mengusik hatinya, iaitu mempertahankan kebahagiaan sebagai seorang wanita yang bergelar isteri.
“Setiap manusia ada hak untuk bahagia, mungkin jodoh saya tidak panjang. Bila mengenangkan takdir yang saya lalui di fasa perkahwinan atau pun sudah berpisah, ada perkara yang masih menghimpit diri ini.
“Tapi saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan sekarang ini. Allah kurniakan rezeki yang tidak putus-putus. Bahkan, hubungan saya dengan bekas suami masih berhubung baik,” luahnya.
Untuk rekod, juara Bintang RTM 2001 ini sudah melayari hidup solo selama 11 tahun selepas perceraian dengan ahli perniagaan pada tahun 2008. Hasil perkongsian hidup mereka tidak mempunyai cahaya mata.
Cahaya mata
Sungguh pun kesal, anugerah cahaya mata yang hadir dan dianggap sebagai anak kandung sendiri, Rahmat Azharin, 7 dan Redha Azharin Azhar, 5 dalam hidupnya ternyata membawa satu keriangan baharu.
Kata Nina, anak-anak yang kian membesar itu diharap dapat menjadi anak yang soleh. Pendek kata, dia menganggap dua orang puteranya itu sebagai harta dunia akhirat.
“Mungkin Allah uji saya dengan ketiadaan kebahagiaan dalam berumah tangga. Walaupun bukan anak kandung sendiri, tapi saya dapat rasakan nikmatnya menjadi ibu.
“Setiap kesedihan saya pasti anak-anak ada. Itulah peninggalan yang bakal mendoakan kalau saya sudah tiada dan sambut di liang lahad. Moga-moga mereka mendoakan saya kelak.
“Apa yang saya belajar, dalam hidup ini kena selalu bersyukur. Setiap kekurangan, kelemahan dan kesakitan harus bersyukur. Allah akan berikan apa yang kita perlu sahaja,” akhirinya.










