50% pelajar tahfiz tercicir, guru pun terjejas - Utusan Malaysia

50% pelajar tahfiz tercicir, guru pun terjejas

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Kuala Lumpur yang tiada pelajar susulan arahan kerajaan supaya pusat tahfiz ditutup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian mereka ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu hingga kini.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tahfiz tidak dapat mengikuti pengajian dengan sempurna kerana pembelajaran secara maya mengundang pelbagai masalah.

Ketika ini terdapat sebanyak 1,480 pusat tahfiz di seluruh negara dengan melibatkan seramai 21,000 pelajar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Gabungan Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood berkata, keciciran itu lebih banyak melibatkan pelajar tahfiz yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, kebanyakan pelajar tahfiz pula biasanya membabitkan anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang tidak berkemampuan untuk membeli peranti mahupun menyediakandata internet.

“Sejak pandemik Covid-19 pusat tahfiz di seluruh negara tidak dapat beroperasi penuh sebaliknya pembelajaran diadakan secara maya. Pelajar pula akan pulang kepada keluarga masing-masing kerana asrama ditutup,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi meneruskan kesinambungan pengajian, katanya, kebanyakan sekolah tahfiz menawarkan pengajian secara maya namun dapatan menunjukkan tiada sambutan berpunca daripada pelbagai masalah.

“Masalah besar ialah pelajar tahfiz berdepan tiada liputan internet. Kalau ada internet tiada duit beli data. Lebih sedih, sebanyak 60 peratus pelajar tahfiz daripada keluarga B40 tidak ada peranti,” dedah beliau mengenai pelajar tahfiz yang terjejas ketika pandemik .

Susulan masalah tersebut, Mohd. Zahid memberitahu, pengurusan pusat tahfiz hanya mampu memantau pelajar melalui ibu bapa dengan panggilan telefon.

Katanya, kekangan tersebut bakal menyebabkan sasaran pusat tahfiz melahirkan hufaz yang diiktiraf dengan sijil terjejas teruk.

“Sasaran kami melahirkan hufaz setiap tahun lebih 1,000 orang tetapi kini hanya tinggal sekitar 500 hufaz,” katanya.

Zahid berkata, pengurusan pusat tahfiz dan juga sekolah pondok kini menunggu `lampu hijau’ kerajaan untuk membenarkan semula operasi sekolah agama secara fizikal.

Selain masalah pelajar, Zahid yang juga Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Kuala Lumpur berkata, pusat tahfiz dan guru-guru agama juga terjejas pendapatan mereka.

“Kita juga bimbang adakah pusat-pusat tahfiz itu mampu bangkit lagi,” luahnya.

Katanya, masalah itu menjadi serius apabila sebahagian besar pusat tahfiz di negara ini tidak mendapat bantuan kerajaan negeri mahupun Pusat.

“Apa yang saya tahu, hanya beberapa pusat tahfiz menerima bantuan daripada kerajaan negeri antaranya Negeri Sembilan, Sarawak dan Pahang,” katanya.

Menurutnya, ketika permulaan PKP, setiap guru pusat tahfiz diberi bantuan sebanyak RM800 secara one off namun bagi PKP kali kedua dan ketiga tiada sumbangan daripada kerajaan.

Selain itu, jelas beliau, kebanyakan pusat tahfiz juga kini terbeban apabila ada dalam kalangan ibu bapa tidak mampu membayar yuran pengajian anak-anak mereka dengan teratur.

“Ramai ibu bapa membuat bayaran tidak teratur dan masalah itu semakin parah apabila pusat tahfiz tidak operasi yang bermakna pengurusan tidak menerima bayaran,” jelasnya. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×