SEGAMAT: Mengimbau sejarah kemerdekaan tidak lengkap sekiranya kisah keberanian Leftenan Adnan Saidi yang bertahan bermati-matian menentang kemaraan askar Jepun semasa Pertempuran Pasir Panjang pada Perang Dunia Kedua tidak disertakan.
Adnan bersama 42 saki baki anggota Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu turut bertahan di atas Bukit Chandu, Singapura pada 13 hingga 14 Februari 1942 sebelum tewas dan bersemadi tanpa pusara.
Kini, paparan wajah wira perang di permukaan wang kertas 20 Singapore Dollar (SGD20) edisi khas yang dikeluarkan pada 2019 turut menjadi kebanggaan anak Malaysia yang berada di negara jiran itu.
Suhaimi Osman, 33, yang 14 tahun bekerja di Singapura berkata, dia pertama kali menjejakkan kaki ke Bukit Chandu setelah menyedari gambar Leftenan Adnan di atas wang kertas tersebut bersama ikon dan pemimpin lain.
“Saya terkejut kerana ia adalah wajah pejuang Tanah Melayu yang terkorban di usia semuda 27 tahun. Kita adalah perantau di sini, apabila nampak wajahnya ada satu semangat juang tinggi yang sukar digambarkan.
“Perasaan saya bercampur-baur, rasa bangga bercampur sedih mengenang perjuangannya yang sanggup mempertahan Tanah Melayu daripada penjajahan Jepun sehingga titisan darah terakhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Suhaimi yang sudah lebih setahun tidak kembali ke tanah air sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan berkata, paparan wajah itu sangat terkesan dihatinya kerana penghormatan dan penghargaan di atas wang kertas tidak lekang dek zaman.
Wang kertas SGD20 edisi khas yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 2019 itu dilancarkan sempena memperingati 200 tahun negara Singapura. Wajah Leftenan Adnan turut terpapar bersama kelompok individu berperanan penting dalam sejarah kenegaraan Singapura.
Perajurit muda itu yang berpakaian tentera bersama tujuh ikon warga Singapura lain seperti Munshi Abdullah, sementara gambar bahagian hadapan wang kertas itu adalah wajah Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak.
Sementara itu, bagi anak jati Johor Bahru, Mohd. Khaidzir Arshad, 40, dia yang sembilan tahun bekerja di Singapura juga berasa teruja apabila berpeluang ke Bukit Chandu, baru-baru ini pada bulan kemerdekaan Malaysia.
“Zaman perang dunia kedua dahulu, ada banglo era penjajahan di Bukit Candu ini tetapi diubah menjadi Refleksi Bukit Chandu. Ia sebuah pusat tafsiran mengenai Pertempuran Pasir Panjang iaitu tindakan Leftenan Adnan dan anggota tentera diabadikan di sini.
“Pendekatan seumpama ini dapat mengekalkan ingatan kepada generasi baharu terutama di Malaysia dan Singapura yang membesar dalam keamanan untuk mengenali wajah individu terkorban untuk mempertahan negara daripada dijajah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











