"Selagi belum kiamat, segalanya mungkin" - Utusan Malaysia

“Selagi belum kiamat, segalanya mungkin”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tindakan segelintir komponen tarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, mengundang lebih banyak persoalan berbanding menawarkan jalan penyelesaian.

Percaturan itu bukan sahaja menggoncang kestabilan dan segala usaha semua pihak dalam menangani wabak Covid-19 serta masalah ekonomi, malah lebih merisaukan apabila bertebaran desas-desus kemungkinan wujudnya penjajaran itu dan ini dengan pihak yang dulunya dianggap seteru azali.

Apa kesan tindakan UMNO itu terhadap kerajaan? Bagaimana pula rakan dalam Muafakat Nasional (MN) terutama Pas melihat keadaan itu? Paling utama, adakah Pas lihat tindakan sahabatnya itu bakal buka ruang bagi Pakatan Harapan (PH) berkuasa semula?

Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, FAHMI FAIZ serta jurugambar MUHAMMAD SHIDDIEQIIN ZON menemu bual Ketua Penerangan Pas Pusat, KAMARUZAMAN MOHAMAD di ibu pejabat Pas di Kuala Lumpur, kelmarin.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa reaksi Pas apabila Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba pujuk UMNO sertai blok itu, sedangkan UMNO sebahagian daripada Muafakat Nasional (MN)?
KAMARUZAMAN: Pertama, Pas telah mengeluarkan kenyataan melalui Presiden, iaitu Pas menolak penjajaran baru. Maknanya, Pas tidak akan bekerjasama malah menolak sebarang kerjasama dengan PH dalam blok politik. Itu pendirian Pas yang telah dibuat melalui Presiden, dan ditegaskan oleh Timbalan Presiden. Malah saya sendiri juga ada buat beberapa kenyataan berhubung pendirian ini.
Dalam isu bekerjasama dengan blok pembangkang ini, kami melihat pengajaran 22 bulan kerajaan PH, sewaktu mereka memerintah negara itu telah memberikan pengajaran yang sangat besar, bahawa bagi kami sejarah 22 bulan itu adalah petunjuk jelas bahawa kita tak boleh sekali-kali bekerjasama dengan mereka.

Kenapa?
Kerana bila mereka diberi kuasa, mereka bertindak melangkaui apa yang kita terfikir. Bayangkan bagaimana mereka tergamak cuba menandatangani perjanjian ICERD, sedangkan ini secara jelas cuba ubah struktur asas negara yang kita pasak melalui perlembagaan. Malah pengalaman kami bersama dengan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu telah memberi kami cukup pengajaran bahawa mereka tidak sewajarnya diberikan sebarang kerjasama.

Mungkin PH sekarang sudah berubah?
Bagi saya, insiden yang berlaku contohnya isu (pencerobohan tanah haram) durian Musang King di Raub, bagaimana sepatutnya mereka sebagai parti politik, seharusnya mendukung sebarang usaha murni kerajaan untuk menghadapi golongan yang menentang dan melanggar undang-undang negara.
Tapi dalam kes tanah haram Musang King ini contohnya kita lihat, DAP begitu ke hadapan sanggup mendukung kumpulan (penceroboh) yang melanggar undang-undang negara.
Bahkan bersikap biadab dan kurang ajar terhadap penguat kuasa yang melaksanakan undang-undang ini. Jadi isu ini jelas menunjukkan mereka tidak berubah, dan saya yakin mereka tidak akan pernah berubah. Sikap cauvinis tidak pernah hilang dari prinsip perjuangan mereka.

DUNIA BELUM KIAMAT
Apa nasib MN apabila UMNO tarik diri dari PN pada 3 Ogos lalu?
Kerajaan PN ini rohnya adalah daripada asas permuafakatan Islam-Melayu melalui MN, dan didukung bersama oleh Bersatu dan pasukan Datuk Seri Azmin Ali.
Jadi bagi saya, apa yang berlaku penarikan sokongan segelintir UMNO daripada kerajaan PN, ia sedikit memberi kesan kepada MN. Malah Timbalan Presiden Pas telah keluarkan satu kenyataan yang mana Pas melahirkan dukacita di atas tindakan yang dibuat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan yang menarik sokongan daripada PN.

MN akan terus bertahan?
Kenyataan terbaru daripada Presiden Pas, kami pegang sehingga ke hari ini. Kita masih dengan prin­sip memperkukuhkan MN dan memperkasa serta mempertahankan PN.
Sekarang, mungkin ada sedikit kocakan dalam ‘cawan’ MN, tapi ia masih lagi boleh diuruskan. Sehing­ga ke hari ini, kami masih ada lagi kumpulan WhatsApp MN, dan walau­pun tak seaktif dahulu tapi masih ada komunikasi antara Pas dan UMNO dalam kumpulan itu. Walaupun ia sedikit terjejas melalui pengumuman segelintir UMNO (pada 3 Ogos lalu), tapi kami tetap yakin untuk MN terus diperkukuh.

Bila kali terakhir mesyuarat MN dibuat?
Mesyuarat rasmi terakhir sebelum Ramadan yang lepas, namun sekarang walaupun tiada mesyuarat rasmi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan mesyuarat secara fizikal, tapi komunikasi masih berjalan dalam kumpulan-kumpulan Pas dan UMNO.

Lepas UMNO tarik diri, adakah Pas cuba meredakan situasi dan berbincang bersama UMNO dan Bersatu?
Sebenarnya berlaku perbincangan dua hala selepas 3 Ogos di peringkat individu pimpinan tertentu, yang membincangkan hala tuju politik negara. Saya yakin ia akan sentiasa berlaku.

Perbincangan antara siapa?
Saya tak boleh sebutlah. Tapi ia berlaku di peringkat kepemimpinan tertinggi, termasuk Pas, UMNO dan Bersatu. Malah kita sentiasa berkomunikasi untuk pastikan isu-isu membabitkan kepentingan negara ini dapat diselesaikan.

Pas berusaha pujuk Presiden UMNO susulan isu 3 Ogos?
Buat masa ini, kita melihat bahawa dunia belum kiamat (tertawa). Maknanya, semua kemungkinan boleh terjadi. Selagi dunia belum kiamat, segalanya mungkin (dalam politik). Hari ini mungkin kita berpendirian begini, esok kerana kepentingan tertentu, maka kita ubah pendirian demi untuk kepentingan tertentu itu tadi.
Kalau keadaan ini berterusan, kerajaan tak boleh fokus untuk membangunkan ekonomi dan sebagainya, kita akan menerima dua kesan yang sangat besar.
Kesan kesihatan dan ekonomi, dan kedua-dua ini memberi kesan yang sangat teruk. Rakyat boleh mati kerana penyakit, rakyat juga boleh mati kerana tiada makanan. Jadi kita kena uruskan kedua-dua ini dengan baik.

SOKONG KERAJAAN, BUKAN BLOK POLITIK
UMNO berhujah, mereka dari awal memang tak sokong PN sebagai blok politik sebaliknya hanya menyokong kerajaan. Tidakkah tindakan mereka baru-baru ini selari dengan pendirian asal itu?
Saya kalau boleh mahu elak mengulas bagi pihak UMNO. Maknanya, itu urusan dalaman mereka. Saya sebagai rakan, menghormati keputusan yang dibuat. Bagi saya, dalam apa juga keadaan pun, Pas berpendirian bahawa kita wajib menyokong kerajaan ini. Kerana kalau jatuh kerajaan yang ada hari ini, maka akan wujudkan suasana politik yang sangat tidak stabil.

Boleh beri contoh?
Contohnya, kerajaan hari ini, blok paling besar sokongannya adalah blok Tan Sri Muhyiddin. Sekarang kita ada 100 lebih sokongan, walaupun secara umumnya kita mengetahui ia mungkin sudah menjejaskan majoriti, tapi blok paling besar adalah Muhyiddin. Kita juga ada beberapa blok lain, seperti PH. Mereka cuma ada sekitar 89 kerusi, kemudian blok Tun Dr. Mahathir dan Warisan yang tidak bersama antara satu sama lain.
Maknanya, jika blok Muhyiddin ini jatuh, maka untuk memilih kepimpinan baharu nanti akan ada masalah. Malah kalau kita boleh tubuh kerajaan baru pun, tetap akan wujud ketidakstabilan.

Kenapa?
Sebab mereka tidak memiliki majoriti yang besar. Jadi akan kembali semula kepada keadaan yang ada hari ini. Kemudian, bukan sahaja turun Muhyiddin hari ini, esoknya boleh lantik Perdana Menteri baharu, tidak. Mungkin akan mengambil masa beberapa hari, kemudian mungkin kerajaan baru itu pula kena ambil masa beradaptasi dengan persekitaran Covid-19, jadi kesannya akan mengakibatkan program kerajaan hari ini menangani isu dan usaha membantu rakyat akan terjejas. Yang rugi nanti siapa? Rakyat dan negara.

Jadi apa nasihat kepada ahli politik lain?
Sebab itu saya menyeru kepada seluruh parti dan ahli politik, bersabar sekejap. Mungkin cadangan baru-baru ini untuk wujudkan moratorium politik itu cadangan yang baik. Maknanya sekarang, kita berhenti berpolitik, patuhi titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, dan fokus menyelesaikan Covid-19.
Selesai pandemik ini, apabila negara sudah stabil diserahkan mandat kepada rakyat untuk memilih. Jadi bagi saya, sepatutnya mendukung sepenuhnya titah Tuanku supaya kerajaan boleh fokus sepenuhnya kepada usaha mengatasi wabak, dan pembangkang sepatutnya berhenti dulu politiking melampau sehingga sanggup berhimpun. Sampai ada didengar wujudnya kluster baru pula, ‘kluster Khalid Samad’ kan?

DAP, PKR SOKONG PN?
Difahamkan DAP ada usaha menyokong PN melalui perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA agreement), apa reaksi Pas apabila ada elemen DAP dalam PN?
Ini mungkin hanya peringkat tertinggi yang berhak mengulas. Bagi kami, kepentingan untuk mempertahankan kerajaan ini sangat besar maslahatnya. Macam disebut tadi, kalau jatuh kerajaan hari ini, kerajaan yang tetap tak stabil akan terbentuk, dan seterusnya akan membentuk ketidakstabilan berpanjangan. Yang rugi adalah rakyat. Jadi sebarang kerjasama dengan pembangkang, bagi saya isu ini agak sensitif.
Betul, ia melibatkan Pas yang memiliki pendirian yang jelas terhadap DAP dan PKR, jadi saya rasa ia perlu dibincang secara lebih terperinci, dan saya melihat kalau tidak bersama dengan DAP dan PKR pun, kita masih ada ruang bersama dengan pihak lain.
Kita masih ada, contohnya dengan Pejuang, Warisan, malah kita masih ada ruang bersama Parti Amanah Negara (Amanah). Walau bagaimana mereka menentang dan lawan kita, tapi bagi saya kita tak pernah menutup ruang kepada siapa, terutama parti-parti yang membawa perjuangan Islam-Melayu.

Tapi di pihak Amanah, mereka komponen PH dan DAP?
Ya lah, kalau kita tengok rakan- rakan yang bersama Azmin pun, mereka dari latar belakang yang kita rasa lebih jauh kalau dibandingkan dengan Amanah. Jadi kita masih buka, dan jika mereka ingin bersama untuk menyokong kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara, insya-Allah kita terbuka.
Dalam konteks DAP dan PH ini, sehingga ke hari ini kita tak dapat lihat perubahan mereka. Isu Musang King di Raub, kemudian ada isu ‘kerajaan Tuhan’ yang Lim Kit Siang ulas sebelum ini, jadi bagi saya sikap mereka tidak pernah berubah. Jadi ini memberi halangan untuk kerjasama ini.

TUN DR. MAHATHIR MASIH BERBISA
Ada mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih ‘memegang stereng’ PN, apa reaksi Pas selaku parti yang ada hubungan akrab dengan beliau sewaktu Langkah Sheraton?
Yang menarik tentang Tun Dr, Mahathir ini, apabila arwah Tuan Guru Nik Aziz ada menyebut bahawa Allah SWT anugerahkan kebijaksanaan kepada Tun Dr. Mahathir, bijak beliau mentadbir negara dan sebagainya. Cuma pada masa itu mungkin beliau tidak rapat dengan Pas.
Jadi bagi kami Pas, beliau memiliki jasa yang besar. Apabila berlaku krisis kepimpinan, perebutan jawatan PM yang begitu ketara sekali pada hari-hari terakhir sebelum pembubaran PH, jadi Tun Dr. Mahathir melihat jalan terbaik ialah meletak jawatan.
Bagi saya apa yang diusahakan oleh beliau ini membuka ruang kepada pembentukan kerajaan PN. Jadi kami melihat beliau memiliki sumbangan yang besar kepada kerajaan yang ada hari ini, dan kami melihat beliau masih boleh berperanan untuk membantu walaupun ada diumumkan tidak bersama PN, tapi beliau masih memberi sumbangan yang bermakna.

Kenapa?
Sebab Tun Dr. Mahathir ini, kalau beliau masuk sahaja, beliau akan menghentikan gelora politik. Masa sedang berkecamuk, beliau keluar, reda sekejap dan naik kerajaan yang baru. Lepas itu naik Muhyiddin, Tun Dr. Mahathir tak setuju. Kemudian tengah-tengah Anwar sibuk sebut pasal angka (sokongan), beliau (Tun Dr. Mahathir) mencelah, jadi senyap sekejap. Jadi beliau masih seorang yang sangat berbisa, dan kami menghormati sentuhan beliau, dan harapan saya semoga beliau dapat terus berikan sumbangan bagi menstabilkan politik negara.

Pas lihat adakah kemungkinan beliau akan menyertai PN?
Saya berpandangan amat baik untuk Tun Mahathir bersama kerajaan PN untuk membantu menstabilkan kerajaan, seterusnya untuk kita bantu negara menghadapi Covid-19. Buat masa ini, ini pandangan peribadi saya, saya sangat seronok jika beliau dapat bersama dengan PN kerana sentuhan beliau masih berbisa.

PN BAKAL TUMBANG?
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Pas mengingatkan ahli agar bersedia dengan kemungkinan PN akan tumbang. Boleh ulas?
Jika ada majoriti maka kerajaan akan kekal. Tapi jika tiada majoriti, ia akan mewujudkan ketidakstabilan politik kerana masih tiada (blok) yang mempunyai majoriti, dan antara pilihan terbaik yang saya rasa kalau boleh diuruskan, adalah dengan mengadakan pilihan raya dan mengembalikan mandat kepada rakyat. Tapi kekangannya adalah Covid-19. Bagaimanapun, mungkin melalui kejayaan program vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok, mungkin antara pertimbangannya adalah untuk kita mengadakan pilihan raya.

KENYATAAN TAK SENSITIF
Komen terhadap Menteri Besar Kedah yang baru-baru ini keluarkan kenyataan tak sensitif berhubung isu Covid-19?
Beliau sudah pun meminta maaf atas gurauan tersebut. Kemudian dalam isu pandu uji kereta terdahulu juga, beliau sudah menjelaskan kompaun. Ini menunjukkan kerendahan hatinya dalam menerima teguran. Sebagai peringatan kepada kita bersama, pemimpin ini pakai stokin senget pun jadi perhatian. Jadi perlu cermat dalam segala urusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×