Covid-19: Dua beradik yatim piatu sedih tapi tetap mahu ke sekolah - Utusan Malaysia

Covid-19: Dua beradik yatim piatu sedih tapi tetap mahu ke sekolah

MUHAMMAD Syahmil Sabiha (tengah) bersama Nur Haniesya (kiri) menunjukkan gambar ibu dan bapa mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini..-UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua beradik di Felda Palong 7 yang kehilangan ibu dan bapa mereka akibat Covid-19 pada Jun lalu masih bersedih atas pemergian kedua-dua insan tersayang tersebut.

Bagaimanapun, Muhammad Syabil Sabiha, 12, berkata, dia dan adikny tetap akan ke sekolah September ini.

“Rasa sedih belum hilang, tetapi saya sudah bersedia untuk ke sekolah.

“Lagipun, belajar di rumah tidak sama dengan di sekolah, di sekolah ada kawan-kawan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kisah dua beradik di Felda Palong 7, dekat sini iaitu Muhammad Syabil dan Nur Haniesya Sabiha, 8, yang kehilangan ibu dan bapa mereka yang meninggal dunia akibat Covid 19.

Ibu mereka, Hazliza Hassan, 38, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jempol pada 14 Jun manakala bapa mereka, Sabiha Ibrahim, 38, meninggal dunia pada 28 Jun lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Mereka yang kini tinggal bersama nenek mereka, Salmah Abdul, 69, yang hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai serta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak kejadian itu.

“Buat masa ini, semua perbelanjaan mereka saya gunakan wang hasil sumbangan orang ramai. Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih lagi dalam proses.

“Mujur ada juga jiran yang prihatin dan ada anak saudara saya yang boleh membantu membawa mereka ke bandar untuk membeli kelengkapan jika sekolah dibuka semula nanti,” katanya.

Sementara itu, Nur Haniesya berkata, dia juga tidak sabar untuk memulakan kembali sesi persekolahan bersemuka nanti.

“Saya seronok dan mahu kembali ke sekolah dan jumpa kawan-kawan.

“Cuma kali ini saya tidak pergi lagi sekolah dengan papa lagi, mungkin akan tumpang jiran untuk ke sekolah. Abang pula pergi sekolah naik basikal,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×