PETALING JAYA: Berita tular mengenai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan Muhyiddin hilang sokongan majoriti, adalah palsu.
Azhar Azizan hari ini dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau tidak pernah memberi sebarang surat kepada Perdana Menteri.
“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin mengatakan bahawa tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan.
Berita berkaitan:
“Berita tersebut adalah berita palsu,” katanya.
Sebuah portal berita tempatan melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada Muhyiddin bahawa kerajaan pimpinan beliau sudah tiada majoriti.
Media-media tempatan mengikuti rapat perkembangan jumlah sokongan majoriti yang masih teguh bersama Perikatan Nasional (PN) selepas UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan PN.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menerusi satu ciapan berkata sokongan yang masih berpihak pada perdana menteri hanyalah 100 daripada 220 ahli parlimen.
Hal itu bercanggahan dengan Perkara 43 (4), Perlembagaan Persekutuan dan meminta supaya Muhyiddin berundur dengan cara terhormat.
Perkara 43 (4) menyebut, jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaanya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN











