Muharam adalah bulan pertama dalam 12 bulan kalendar Hijrah yang diusulkan oleh Saidina Umar al-Khattab pada zaman pemerintahannya.
Walaupun hijrah Nabi SAW tidak berlaku pada Muharam tetapi peristiwa hijrah adalah paling sesuai dijadikan asas permulaan tarikh dan tahun Hijrah. Senada dengan ungkapan Saidina Umar al-Khattab yang masyhur: “Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh”.
Azam dan tekad untuk berhijrah memerlukan elemen kekuatan secara mental dan fizikal. Sehubungan itu, kesediaan untuk berubah adalah elemen utama yang membuahkan kejayaan. Seseorang yang ingin berhijrah sewajarnya memiliki keazaman dan kesediaan yang tinggi untuk berubah.
Kesediaan ini tidak mungkin terbina melainkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan yang jitu. Ini selain tekad yang padu dan usaha bersungguh-sungguh beserta niat ikhlas yang berupaya membangkitkan motivasi ke arah kemajuan dan kecemerlangan.
Perubahan ke arah kebaikan wajar bermula daripada individu Muslim menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (al-Ra’d: 11)
Sejarah membuktikan bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa bersedia dengan perubahan dan penghijrahan, namun tetap mengekalkan jati diri dan budaya bangsa.
Sehubungan itu, penyegaran dinamika muslim-mukmin melalui proses transformasi manusiawi yang memberikan jiwa dan citra baru kepada diri.
Nilai-nilai dinamik yang terpancar daripada ajaran Islam bersendikan nilai ilmu akidah, syariah, akhlak dan nilai ilmu yang dijelmakan menerusi keintelektualan Islam itu menatijahkan muslim-mukmin berjiwa merdeka yang sujud, rukuk dan setia mutlaknya hanya kepada Allah.
Sementelah pula, dalam situasi pandemik Covid-19; kewajaran perubahan diri secara mental, spiritual dan fizikal amat dituntut agar fenomena ini segera terurai.
Bertitik tolak daripada kerencaman ilmu dan intelek tersebut, sifat sabar dan reda amat dituntut bagi mendapat kejayaan hijrah diri setiap Muslim khususnya. Sifat sabar dan reda adalah tunjang kepada proses hijrah.
Setiap muslim dan mukmin sewajarnya meneguhkan sifat sabar dan reda dalam dalam berhadapan segala ujian dan musibah yang menimpa negara dan dunia.
Perasaan negatif seperti lemah semangat, berdukacita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir perlu disingkirkan daripada minda.
Sebaliknya kita wajar sentiasa bersikap positif dan saling berusaha mematuhi segala peraturan dan langkah bagi membendung Covid-19 sekali gus nyahkannya segera daripada negara.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan jangan kamu berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengungkapkan: kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini. Sebaliknya ucapkanlah: itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Sebenarnya perkataan ‘kalau’ itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan. (Riwayat Muslim)
Kita juga maklum dunia sedang berdepan ujian yang sama iaitu penularan Covid-19. Beberapa langkah dilaksanakan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SOP pengkebumian jenazah, SOP peribadatan di masjid dan surau, rawatan dan kuarantin bagi individu yang terlibat.
Perihal itu selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wabak taun adalah kotoran yang dikirimkan Allah SWT kepada sebahagian Bani Israil dan juga masyarakat sebelum kalian. Jika kalian mendengar ada wabak taun di suatu negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Namun, apabila wabak taun itu tersebar di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian menghindari dari penyakit itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
UJIAN DAN HIKMAH
Sepanjang pandemik ini, kesabaran umat Islam diuji dengan pelbagai cabaran seperti kesakitan, hilang punca pendapatan, krisis dan keganasan rumah tangga, bunuh diri dan sebagainya.
Sebagai mukmin hendaklah sentiasa sabar dan berdoa kepada Allah SWT memohon perlindungan, mempertingkatkan keimanan dan diberi kekuatan mengharungi ujian yang menimpa.
Selanjutnya, dikukuhkan dengan sifat reda yang memberi maksud agar sentiasa berlapang hati dan dada ketika menerima ketentuan Allah SWT. Juga bersangka baik terhadap segala aturan-Nya, walaupun bertentangan dengan keinginan diri sendiri.
Bagi individu yang beriman, segala keputusan yang ditetapkan oleh Allah SWT dianggap sebagai ketetapan yang paling sempurna.
Individu muslim dan mukmin yang bersikap positif tidak akan keluh kesah dan bersangka buruk terhadap ujian yang menimpa.
Sebaliknya, melihat ujian itu dengan penuh hikmah dan menganggapnya sebagai rahmat dan petunjuk Allah SWT dalam meneruskan kehidupan.
Muslim dan mukmin perlu sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan dan anugerah kejayaan dalam kehidupan dan sama sekali tidak membuahkan perasaan riak dan ujub tetapi memperkukuhkan lagi keyakinan dan pegangan ajaran.
Begitulah sebaliknya, muslim dan mukmin yang berjaya ini terus bersyukur dan berlapang dada menerima segala ujian, musibah dalam hidup dan sedikit pun tidak berputus asa atau kecewa sehingga mengheret mereka dalam kalangan individu yang tidak bersyukur.
Sifat syukur inilah yang paling utama dan mulia dalam berdepan segala ujian Allah kerana terus yakin ada hikmah di sebalik segala derita dan terus berkeyakinan pasti ada cahaya di hujung terowong, pastinya ada pelangi selepas hujan.
Ini bererti, sekalipun awal Muharam sekali lagi tidak disambut seperti lazimnya hakikatnya kemeriahan Muharam adalah penghayatan, pemahaman dan pelaksanaan tuntutan hijrah yang sebenar sempena 1443 Hijrah ini.
Kepemimpinan tertinggi negara wajar berkorban dan tidak mementingkan diri sehingga pihak kerajaan dilihat lemah dan tidak dapat memberi tumpuan kepada usaha mensejahterakan rakyat.
Penghijrahan sikap, minda dan berani mencuba apa jua bentuk bidang dan perkara baharu adalah satu-satunya cara untuk memperbaiki kehidupan dalam suasana yang cukup mencabar ketika ini.
Semua perubahan, penyesuaian dan penghijrahan itu adalah untuk kebaikan bersama.
Hijrah mempunyai nikmat yang cukup besar terutama untuk kita kembali bangkit daripada pelbagai kemelut dan cabaran yang dihadapi. Muharam kembali menongkahi arus dan terus bangkit memutuskan rantaian virus dengan keazaman yang tinggi.
Momentum ini yang wajar terus hidup dan segar dalam minda dan sikap kita dalam mendepani mehnah Covid-19 pada permulaan tahun Hijrah 1443 ini.
Selamat menyambut awal Muharam.
- Penulis ialah Prof. Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.










