PUTRAJAYA: UMNO perlu mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini berikutan pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Itu antara tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada UMNO dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan untuk ditangguhkan sebelum 31 Disember, dengan parti tersebut perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada RoS dalam tempoh terdekat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim berkata, perkara sama juga perlu dipatuhi pertubuhan lain, bukan hanya melibatkan pertubuhan politik yang belum mengadakan pemilihan atau mesyuarat agung sejak tahun lalu.

Menurut beliau, pihaknya yakin semua pertubuhan atau parti politik boleh melaksanakan peraturan itu kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun dengan 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin.
Malah katanya, negara juga dijadual memasuki peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana pada fasa terakhir ini membolehkan negara kembali semula kepada norma kehidupan biasa apabila hampir kesemua sektor beroperasi dengan hanya perlu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Semua pertubuhan perlu mengemukakan permohonan penangguhan bukan hanya dikhususkan kepada parti politik sahaja. Ada pertubuhan tahun 2020 pun tak buat lagi (mesyuarat agung dan pemilihan). Jadi semua pertubuhan di negara ini kena mohon penangguhan kepada kita sama ada mereka mempunyai masalah disebabkan pandemik atau lain-lain.
“Kita ada dasar dan kita boleh benarkan penangguhan tidak lebih 31 Disember dan kita faham dengan situasi Covid-19. Sekarang ini kalau ikut fasa PPN, fasa empat sudah boleh buat. Kita akan teliti permohonan tempoh penangguhan itu,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, RoS berpandangan, keputusan mesyuarat MT UMNO menangguhkan pemilihan 18 bulan adalah tidak sah sekali gus keabsahan kepemimpinan UMNO menjadi tanda tanya yang menyaksikan kedudukan pemimpin UMNO ketika ini tergantung kerana tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat sejak 30 Jun lalu.
Ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan yang dibuat UMNO adalah selepas tamat penggal MT pada 30 Jun lalu.
Berikutan itu, UMNO dalam maklum balasnya akan menghantar surat jawapan kepada Ketua Pengarah RoS Isnin ini kerana percaya tiada sebarang kekhilafan berhubung keputusan penangguhan berkenaan dan turut bercadang akan merujuk keputusan Ketua Pengarah RoS itu kepada peguam parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, pihaknya menerima surat daripada Ketua Pengarah RoS bertarikh 19 Julai lalu yang menyatakan pihaknya tiada halangan berhubung penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.
Menurut beliau, ketika mesyuarat MT pada 7 Julai lalu telah mengabsahkan keputusan mesyuarat pada 18 Jun untuk menangguhkan pemilihan, malah Ketua Pengarah RoS kemudian dalam satu surat pada 19 Julai pula menyebut pihaknya tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.
Selain itu, UMNO telah menghantar surat kepada RoS pada 30 Julai berhubung minit mesyuarat MT bertarikh 7 Julai lalu yang mengabsahkan keputusan resolusi edaran pekeliling 18 Jun.- MINGGUAN








