Menginsafi umur dengan tahun baharu hijrah - Utusan Malaysia

Menginsafi umur dengan tahun baharu hijrah

Orang beriman akan menggunakan kesempatan umur di dunia untuk melakukan kebaikan supaya beroleh ganjaran pahala dan syurga di akhirat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Beberapa hari lagi kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1442 Hijrah (H) dan menyambut tahun baharu 1443H. Ia menyentuh tentang peredaran waktu dan masa yang merupakan modal kita di dalam hidup yang singkat ini dalam memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Modal tersebut adalah umur yang diberikan oleh Allah yang tidak dapat mampu dibeli oleh seseorang. Berharganya modal umur ini sehingga di akhirat sebahagian manusia akan meminta semula kepada Allah modal tersebut supaya dapat hidup kembali di dunia bagi memanfaatkan sepenuhnya dengan amal ketaatan kepada Allah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bukankah kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat kepadanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah di datangi oleh rasul kami yang memberi amaran. (Fatir: 37)

Ayat ini memberi gambaran kepada kita betapa umur yang diberikan di dunia adalah penentu nasib kita di alam kubur dan akhirat. Oleh yang demikian, tidak semua orang yang umur panjang di dunia tergolong dalam kalangan yang beruntung.

Ini kerana tidak ada gunanya umur panjang jika tidak dimanfaatkan untuk amal ketaatan. Ia seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik dari kalangan kamu adalah mereka yang panjang umur dan baik amalannya. (Riwayat Tirmidzi)

Bahkan umur adalah antara perkara pertama yang akan dipertanggungjawabkan kepada semua manusia di akhirat nanti.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak akan berganjak kaki manusia di hari akhirat kelak melainkan akan disoal tentang 4 perkara, pertama tentang umurnya apa yang sudah dilakukan. Kedua, tentang masa mudanya digunakan untuk apa. Ketiga, tentang hartanya untuk apa dibelanjakan dan keempat, tentang ilmunya apa yang sudah dilakukan. (Riwayat Tirmidzi)

Kesemua empat perkara yang akan dipersoal ini adalah bergantung kepada umur kerana seseorang tidak akan mampu menggunakan masa muda yang sihat, membelanjakan harta yang dimiliki dan juga memanfaatkan ilmu yang dipelajari kecuali dengan umur. Oleh sebab itu umur didahulukan dalam empat perkara yang akan disoal kelak.

Kita perlu menginsafi umur yang dianugerahkan kepada kita kerana apa sahaja yang kita lakukan dengan umur ini di dunia akan dibentangkan di hari akhirat tanpa tertinggal sedikit pun.

Umur kita di dunia ini umpama tanaman yang kita usahakan yang akan kita tuai nanti hasilnya di akhirat. Yang menanam sesuatu yang baik akan dapatkan hasil yang baik demikian juga sebaliknya.

Maka, sebagai orang beriman semestinya kita tidak boleh membazirkan umur kita dengan melakukan apa sahaja yang dibenci oleh Allah.

Bahkan mengelak gunakan umur kepada perkara yang tidak bermanfaat. Ini kerana kita tidak layak membelanjakan umur yang Allah berikan kecuali dengan apa yang diredai olehnya.

MAHU HIDUP LAMA

Ramai orang bercita-cita untuk hidup lama di dunia kerana tertipu dengan keindahan dunia yang serba canggih dan moden. Dia tidak sedar bahawa apa sahaja keindahan yang dilihat dan dinikmati di dunia adalah bersifat tidak kekal dan akan hancur satu hari nanti.

Tidak salah untuk bercita-cita hidup lebih lama dengan diberikan panjang umur tetapi mestilah dengan niat supaya boleh lebih banyak berbuat amal ketaatan kepada Allah.

Inilah yang membezakan orang beriman dan yang tidak beriman, di mana orang tidak beriman bercita-cita untuk hidup lama bahkan sehingga seribu tahun kerana bagi mereka kehidupan dunia adalah segala-galanya.

Mereka tidak beriman dengan hari kebangkitan dan hari akhirat yang kekal abadi. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya engkau wahai Muhammad, akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup yang lanjut masanya melebihi cita-cita orang musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian tidak akan dapat melepaskan dirinya dari azab Allah. Dan ingatlah Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan. (al-Baqarah: 96)

Hakikatnya umur kita bukanlah terlalu panjang seperti umat zaman para nabi terdahulu. Di antara mereka ada yang hidup lebih 1,000 tahun seperti umat Nabi Nuh a.s. tetapi adakah umur lebih 1,000 tahun itu menjadikan mereka orang yang beruntung di akhirat?

Bahkan mereka yang kufur kepada Nabi Nuh akan diazab oleh Allah SWT di akhirat kelak sesuai dengan umur panjang yang diberikan.

Oleh itu, walaupun kita umat Nabi Muhammad SAW hidup tidaklah selama umur umat para nabi terdahulu, jika kita menggunakan umur kita dengan amal ketaatan kepada Allah, nescaya kedudukan kita jauh lebih mulia daripada umat terdahulu. Ini kerana kita diberikan keistimewaan gandaan pahala.

Kedatangan tahun baharu hijriah tidak lama lagi harus dijadikan sebagai sebab untuk kita menginsafi umur yang dikurniakan Allah. Apatah lagi dengan ujian wabak yang sedang kita alami sekarang.

Tidak seharusnya kita leka dan alpa dengan kehidupan keduniaan yang melalaikan. Ini kerana peringatan Allah SWT sudah berkali-kali berlalu di hadapan mata kita dengan ramainya orang yang meninggal dunia setiap hari.

Semoga kedatangan tahun baharu ini akan menyebabkan amalan kita lebih baik di sisi Allah dan akan menjadi sebab untuk segala bentuk wabak diangkat daripada kita semua. Amiin Allahumma Amiin.

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×